Friday, September 2, 2022

PBM sukar dapat tempat di Sabah, kata penganalisis

 

Kekuatan pemimpin parti biasanya terletak pada sejauh mana kemampuan untuk meraih sokongan pemimpin lokal, kata penganalisis.

KOTA KINABALU: Kehadiran Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang mula mengembangkan sayapnya ke Sabah dilihat sukar mendapat tempat di hati pengundi terutama jika bertanding di negeri itu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang, kata penganalisis.

Ramli Dollah dari Universiti Malaysia Sabah berkata, pengundi di Sabah lebih melihat kepada pemimpin sesebuah parti yang mempunyai sokongan akar umbi kuat, dan bukannya terhad kepada satu-satu kawasan saja.

“Pengalaman pilihan raya di Sabah membuktikan hal ini, apabila kejayaan parti banyak bergantung kepada kekuatan pemimpin parti dan parti tersebut.

“Kekuatan pemimpin parti biasanya terletak pada sejauh mana kemampuan untuk meraih sokongan pemimpin lokal, sama ada melalui pujukan etnik-agama atau kepimpinan yang dilihat mewakili inspirasi kumpulan berkenaan,” katanya kepada FMT.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Ramli Dollah.

Terdahulu, Presiden PBM Larry Sng mengumumkan kemasukan Ahli Parlimen Lahad Datu Mohamaddin Ketapi ke dalam parti itu selain membayangkan beberapa lagi Ahli Parlimen termasuk dari Sabah akan turut berbuat demikian dalam masa terdekat ini.

Mohamaddin juga dilantik menjadi pengerusi perhubungan penaja PBM di Sabah, dan dijangka mula menjelajah ke beberapa kawasan bagi mempromosikan parti berkenaan.

Sng dalam sidang medianya di Kota Kinabalu pada Ahad juga berkata, parti itu telah membuka tujuh bahagiannya di Sabah iaitu di Kudat, Papar, Tenom, Batu Sapi, Semporna dan yang terbaharu di Lahad Datu. Beliau turut menegaskan parti itu akan bertanding di semua kerusi yang ada wakil rakyat daripada PBM.

Tony Paridi Bagang.

Sementara itu, Tony Paridi Bagang dari Universiti Teknologi Mara pula menyifatkan terlalu awal untuk menyatakan sama ada PBM boleh diterima di Sabah atau tidak. Katanya, kehadiran PBM juga pastinya menambah pilihan parti politik kepada pengundi di Sabah walaupun kini jumlah parti yang ada di Sabah boleh dikatakan terlalu banyak.

“Terlalu awal menyatakan sama ada (PBM) boleh ‘survive’ atau tidak, tetapi yang pasti mereka perlu bersaing dengan parti-parti tempatan serta parti nasional yang sudah lama bertapak di negeri ini.

“Politik Sabah dipengaruhi oleh pelbagai faktor dan salah satunya ialah personaliti calon di mana sesetengah tempat, rakyat menyokong atau mengundi atas dasar calon,” katanya.

Bagaimanapun, Tony berkata, untuk menyimpulkan sama ada rakyat menerima dan menyokong parti atau calon bergantung kepada dinamik politik di kawasan serta bahagian yang berkaitan.

“Dalam kes PBM, mungkin pengikut setia Mohamaddin sahaja yang terus kekal mengikuti langkah beliau, tetapi ia tidak semestinya menggambarkan sepenuhnya bahawa rakyat Sabah secara umumnya menerima dan menyokong PBM,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.