Saturday, June 3, 2023

Lif hospital rosak, pesakit dipindah guna tangga, kata exco Melaka

 

angkap layar video tular menunjukkan pesakit dipindahkan menggunakan tangga dalam kejadian yang dipercayai berlaku di Hospital Melaka.

MELAKA: Video tular yang memaparkan proses pemindahan pesakit menggunakan tangga di Hospital Melaka, berlaku ekoran berlaku kerosakan luar jangka lif di Blok F hospital berkenaan, semalam.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Ngwe Hee Sem berkata kerosakan lif berkenaan, menyebabkan akses ke beberapa wad di hospital berkenaan terhad, namun pemindahan pesakit ke wad lain perlu dilakukan.

“Video tular berkenaan memaparkan proses memindahkan pesakit yang berada di wad aras empat ke aras tiga dengan menggunakan tangga, kerana berlaku situasi luar jangka gangguan perkhidmatan lif di Blok F Hospital Melaka.

Ads by Kiosked

“Proses pemindahan pesakit melalui tangga perlu dilaksanakan atas faktor kepentingan dan kelangsungan rawatan pesakit kritikal,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata proses pemindahan pesakit berkenaan, dilakukan dengan pemantauan rapi daripada pihak perawat serta pengurusan wad, dan pesakit itu telah dipindahkan dengan selamat tanpa sebarang komplikasi.

Justeru katanya, semua pihak dipohon untuk tidak membuat spekulasi tidak berasas kerana ia boleh menimbulkan situasi panik, dalam kalangan pesakit.

Dalam pada itu, Ngwe berkata Hospital Melaka sedang melaksanakan kerja-kerja menaik taraf lif di beberapa blok hospital berkenaan dan sepanjang tempoh itu, jumlah lif yang beroperasi telah dikurangkan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penggantian lif baharu.

Beliau berkata kerja-kerja menaik taraf lif berkenaan terbahagi pada dua fasa iaitu antara Oktober 2022 hingga Julai depan bagi fasa satu, manakala fasa dua akan bermula pada Julai depan hingga Disember.

Sehingga semalam katanya, sebanyak dua lif yang rosak telah dibaiki dan berfungsi dengan pemantauan daripada pihak Hospital Melaka.

Ads by Kiosked

Semalam, tular di media sosial video berdurasi 1 minit 32 saat, merekodkan seorang pesakit diusung turun menggunakan tangga, dipercayai berlaku di Hospital Melaka. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.