Friday, January 26, 2024

Kedudukan makin stabil, wakil PKR gesa Anwar mula reformasi segera

 

Hassan Karim menegaskan tiada alasan lagi untuk Anwar Ibrahim tidak membuat pembaharuan selepas disokong lebih dua pertiga Ahli Parlimen.

PETALING JAYA: Selepas menikmati jumlah sokongan lebih dua pertiga Ahli Parlimen, seorang wakil rakyat PKR menegaskan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kerajaan pimpinannya perlu melaksanakan segera reformasi.

Anwar bukan sahaja disokong Ahli Parlimen kerajaan tetapi enam wakil Bersatu terbaru Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) yang pada Rabu mengikut jejak Syed Abu Hussin Hafiz (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) serta Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Pernah mengkritik Anwar yang didakwa mengabaikan agenda reformasi, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berkata tiada lagi alasan untuk tidak membuat pembaharuan termasuk menyediakan peruntukan sama rata kepada semua ahli Dewan Rakyat termasuk blok pembangkang.

“Saya percaya cadangkan itu dapat dibuat maka politik akan lebih tenang dan keghairahan menjatuhkan kerajaan akan reda.

“Anwar dan kerajaan perpaduan dapat tumpu pulih ekonomi negara dan rakyat,” katanya kepada FMT sambil menyifatkan alasan Zulkafperi menyokong Anwar kerana ingin mendapat peruntukan sebagai munasabah.

Zulkafperi ketika mengumumkan pendiriannya itu menegaskan sokongannya kepada Anwar kerana ingin memastikan nasib dan pembangunan penduduk di Parlimennya terus terbela.

“Pendirian Tanjong Karang sokong Anwar tetapi pada masa sama kekal dalam Bersatu kerana ingin mengelakkan hilang kerusi dan menyebabkan PRK,” kata Hassan.

Hassan menjelaskan perkembangan itu menunjukkan undang-undang anti lompat parti berdasarkan pindaan Perlembagaan Persekutuan telah gagal mencapai hasrat asal mengapa pindaan perlembagaan berkenaan dibuat.

Beliau juga berharap enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Anwar diberikan terus peruntukan bukan melalui agensi kerajaan seperti Jabatan Pembangunan Persekutuan.

Anwar sebelum ini menegaskan Perikatan Nasional (PN) perlu berunding dengan kerajaan supaya peruntukan dapat disalurkan kepada Ahli Parlimen pembangkang, namun rundingan dihentikan komponen itu kerana mendakwa Putrajaya meminta “jaminan” tertentu.- FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.