Friday, January 26, 2024

Warga Colombia didakwa pecah rumah, curi beg Chanel, cincin berlian

 

Raul Ferney Nino Quitian, 62, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Farah Azura Mohd Saad dan Majistret Zhafran Rahim Hamzah hari ini. (Gambar Fail)

PETALING JAYA: Seorang lelaki warga Colombia didakwa di dua Mahkamah Majistret hari ini atas tiga tuduhan memecah masuk tiga rumah di Damansara membabitkan kerugian lebih RM50,000 tahun lepas.

Raul Ferney Nino Quitian, 62, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Farah Azura Mohd Saad dan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Mengikut tuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa memecah rumah dan mencuri barang berharga termasuk beg tangan Chanel, empat bentuk cincin emas putih dan berlian, melibatkan kerugian berjumlah RM53,800 di tiga rumah di Damansara Perdana dan Damansara Jaya pada 14 dan 17 Dis tahun lepas.

Tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Khairun Nisa Noor Harun dan Nurul Sofea Jaysal masing-masing tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh yang diwakili peguam MS Jasmine Faith kerana tiada rekod tertuduh keluar masuk ke negara ini meskipun mempunyai pasport.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 8 Mac untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.

Sebelum ini media melaporkan polis berjaya menumpaskan sindiket pecah rumah selepas menahan enam individu termasuk dua lelaki warga Colombia dan empat warga tempatan dalam serbuan di beberapa lokasi sekitar Selangor dan Kuala Lumpur awal bulan ini.

Polis mendapati sindiket itu bergerak aktif sejak Oktober lepas dengan menyasarkan rumah-rumah mewah dan menyamar sebagai penghantar barang bagi mengelak kegiatan dikesan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.