Tuesday, April 2, 2024

Boikot dan bom petrol

 

“Boikot adalah keengganan menggunakan, membeli mahupun menjual sehingga memulaukan sesuatu produk atau perkhidmatan, oleh individu, pertubuhan atau negara sebagai tunjuk perasaan bermotifkan moral, masyarakat, politik, ataupun mementingkan persekitaran”. Ini takrif boikot menurut Wikipedia.

Menurut Wikipedia lagi, “pemulauan ini bertujuan mencetuskan kerugian ekonomi mahupun memaksa pendirian yang dinyatakan pihak yang disasar berubah”.

Saya huraikan definisi itu memandangkan ada dalam kalangan kita yang pada hemat saya meskipun tahu apa erti boikot punya cara tersendiri melaksanakannya. Ini kita cerita sebentar lagi.

Imbau seketika sejarah terciptanya istilah boikot. Sekali lagi merujuk Wikipedia. Bermula dengan seseorang bernama Charles Cunningham Boycott, wakil atau ejen Lord Erne, tuan tanah dan pembesar di Mayo County, Ireland. Si pembesar mengenakan cukai yang amat tinggi ke atas penyewa tanahnya dan mengarahkan Boycott berkeras terhadap sesiapa yang lambat bayar cukai dan berani mengingkarinya. Boycott menurut perintah.

Lama-kelamaan perkara ini diketahui pejuang nasionalis, Charles Stewart Parnell, yang mengusulkan tindak balas dalam bentuk pemulauan. Cadangan Parnell disambut baik penduduk setempat lantas tiada siapa yang ingin berurusan dengan Boycott baik berjual beli ataupun menyediakan perkhidmatan pos dan telegraf. Ertinya Boycott diboikot. Amat hebat ialah sifat boikot berkenaan diamati dan dijalankan tanpa sebarang keganasan.

Seperti definisi boikot, elemen sejarah dihuraikan juga kerana saya ulangi ada kalangan masyarakat kita yang punya cara tersendiri menjalankan boikot.

Pemulauan ke atas Boycott berjaya sehingga beliau terasa teramat malu lalu secara senyap melarikan diri bersama isterinya pada suatu malam dengan diiringi anggota tentera. Beliau kemudian menulis kepada akhbar The Times menceritakan nasib yang menimpanya. Rintihan Boycott mendapat perhatian dan dihebahkan banyak akhbar bahasa Inggeris serata dunia. Akhbar New York Tribune kemudian melaporkan seorang bernama James Redpath mencipta kata kerja untuk menerangkan fenomena yang telah berlaku, maka muncullah “Boycott”.

Sejak itu boikot dijalankan di pelbagai negara atas pelbagai isu termasuk Malaysia. Yang di depan mata sekarang ialah boikot premis perniagaan yang dikaitkan dengan Amerika Syarikat yang sememangnya menyokong Israel. Ia kita tahu sedang mengganas di Gaza. Antara yang kena boikot nama besar termasuk Starbucks dan McDonald’s.

Berjaya Corporation ialah pemegang francais Starbucks yang memiliki Starbucks Malaysia. Kata Vincent Tan, pengasas Berjaya Corporation, boikot itu “hanya merugikan rakyat Malaysia”.

Kata beliau, Starbucks Malaysia selaku sebuah francais adalah syarikat Malaysia dan bukan AS, malah “kami tidak ada seorang pun warga asing yang bekerja di ibu pejabat. Di kedai, 80% hingga 85% pekerja adalah Muslim. Boikot tidak menguntungkan sesiapa.”

McDonald’s Malaysia umum tahu dimiliki Lionhorn Pte Ltd Arab Saudi iaitu anak syarikat Reza Group. Dikatakan kebanyakan kakitangannya beragama Islam dan ‘mangsa’ terbesar boikot ialah pelajar Islam bekerja sambilan yang sebahagian besar dari keluarga kurang berkemampuan. Namun boikot terus dijalankan dan boleh dilihat berjaya.

Mungkin kejayaan boikot anti-AS atau Israel menaikkan semangat dalam kalangan masyarakat tempatan untuk menyahut saranan Pemuda Umno supaya memboikot rangkaian kedai serbaneka KK Mart. Tidak dinafikan kemarahan akibat isu kalimah Allah menjadi dorongan. Ada yang tidak membeli di KK Mart selaras dengan istilah boikot. Ada pula yang menyeru melalui platform media sosial orang Melayu-Islam hanya pergi kedai milik orang Melayu.

Jika sudah boikot KK Mart yang dimiliki usahawan Cina kenalah cari kedai alternatif, tetapi tidak bolehkah beralih ke kedai Cina yang lain, atau kedai milik orang India? Di samping kedai Melayu tentunya. Mengapa disaran pergi kedai milik Melayu sahaja? Jelas elemen ras dibawa masuk ke dalam hal boikot ini.

Ada juga yang tidak mahu barangan buatan orang bukan Melayu menggunakan jenama Melayu atau Islam. Saya rasa mesejnya ialah menggunakan jenama Melayu-Islam untuk produk buatan bukan Melayu mengelirukan orang Melayu untuk membelinya. Maksudnya orang Melayu membeli kerana percaya barangan yang dibeli buatan Melayu.

Saya ada baca satu komen di media sosial yang menyatakan jika atau ketika pembuat Cina menggunakan jenama Cina mereka dituduh tidak hormat bahasa Melayu dan mendewakan bahasa sendiri. Ada benarnya komen ini tetapi perlu diakui juga jenama Melayu mempengaruhi tabiat membeli orang Melayu. Sekali lagi elemen ras timbul.

Sebelum saya menulis artikel ini saya baca laporan The Vibes mengenai vandalisme di sebuah kedai KK Mart. Menurut portal itu beberapa individu pergi ke kedai KK Mart dan meramas-ramas beberapa barangan termasuk roti serta coklat dan meletakkannya semula di rak. Kata The Vibes perbuatan itu dirakam oleh individu terbabit dan videonya dimuat naik di media sosial. Portal itu tidak menyebut berapa ramai yang terlibat dan lokasi kedai berkenaan. Apa pun perbuatan itu sesuatu yang tidak menyenangkan.

Namun paling membimbangkan dan menakutkan ialah kes lontaran ‘bom petrol’ di kedai KK Mart di Perak dan Pahang baru-baru ini. Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution beri peringatan — boikot tidak salah daripada segi undang-undang tetapi percubaan membakar adalah satu jenayah. Beliau mengingatkan “pihak yang menyeru boikot terhadap KK Mart”, meredakan keadaan dan menghentikan hasutan yang membakar sentimen orang ramai.

Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh pula dilapor percaya “ada segelintir pihak” mengaitkan kempen boikot (yang sayap pimpinannya galakkan) dengan sentimen perkauman sehingga mencetuskan bibit-bibit keganasan.

“Jangan buat andaian sebab kita tidak tahu siapa yang buat. Kami mohon polis menyiasat,” kata beliau. Benar tetapi Akmal sekadar menyatakan apa yang nyata kerana sememangnya polis sedang siasat.

Walaupun Pemuda Umno mengecam keras tindakan melontar bom petrol itu ia tetap menyarankan kempen boikot KK Mart diteruskan.

Seperkara menarik ialah PAS tidak terlibat dengan gerakan boikot KK Mart, kata Ketua Dewan Ulama Ahmad Yahya. Jika Pemuda Umno menganggap boikot dilakukan kerana isu membabitkan akidah, mengapa tidak PAS? Tidak mungkin PAS memandang ringan apa-apa isu membabitkan Islam. Atau adakah PAS tidak mahu dilihat mengekor Umno yang terdahulu lancar kempen boikot KK Mart?

Kata Ahmad pendirian PAS berbeza dengan boikot produk entiti berkait Israel. “Dalam isu itu ia berbeza kerana sudah berkaitan langsung serangan Israel ke atas Gaza. Tapi dalam isu KK Mart tiada kaitan langsung.”

Sebab tu kata Ahmad, PAS tidak ambil pendekatan boikot. “Kalau dilihat ucapan tidak ada seorang pun pemimpin PAS yang minta boikot KK Mart. Cuma PAS minta tindakan tegas kepada orang yang bertanggungjawab”. Katanya lagi “kalau sudah ada tindakan saya yakin isu ini dan cerita boikot akan reda”.

Dilihat kata-kata itu bagi saya kempen boikot KK Mart tidak menguntungkan Umno, malah merugikan dalam soal persepsi dan perebutan untuk diterima terutama masyarakat bukan Melayu. Majlis kerja tertinggi parti itu merestui Pemudanya melancarkan kempen boikot. Dalam konteks ini PAS yang nampak rasional dan tidak emosi. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.