Monday, April 29, 2024

Mohon maaf tapi Fadhli harap isu sekolah vernakular calon PH ‘berterusan’

 

Ahmad Fadhli Shaari memohon maaf kerana menyusahkan Pang Sock Tao yang terpaksa mendedahkan keputusan dan sekolahnya di peringkat rendah serta menengah.

PETALING JAYA: Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari berharap isu calon Pakatan Harapan (PH) DUN Kuala Kubu Baharu yang mendapat pendidikan di sekolah vernakular akan ‘berterusan’ hingga PRK 11 Mei.

Tanpa menjelaskan lebih lanjut mengenai ‘harapannya’ itu, Ahli Parlimen Pasir Mas turut memohon maaf kerana menyusahkan Pang Sock Tao yang terpaksa mendedahkan keputusan dan sekolahnya di peringkat rendah serta menengah.

Terdahulu, Pang mendedahkan keputusan UPSR dan SPM yang menunjukkannya mendapat semua A dalam mata pelajaran diambil.

Menerusi slip keputusan dikongsinya, ahli DAP itu menduduki UPSR di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) On Pong, Hulu Langat, manakala SPM di Sekolah Menengah Chung Hua, Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Saya mohon maaf kerana bangkitkan isu pendidikan peringkat UPSR dan SPM calon PH PRK KKB.

“Secara tidak langsung mendedahkan calon tersebut mendapat pendidikan di sekolah vernakular. Dengan permohonan maaf ini, semoga isu ini berterusan hingga pilihan raya kecil nanti,” kata Fadhli di Facebook.

Bercakap kepada FMT, Fadhli yang mengesahkan hantarannya itu berharap pendedahan berkenaan diingati pengundi.

Semalam, Fadhli mencabar Pang menyatakan latar belakang pendidikan rendah dan menengah yang pernah diterimanya, memandangkan tiada catatan di poster profil calon PH itu.

Sebelum ini, latar belakang pendidikan calon Perikatan Nasional (PN) Khairul Azhari Saut yang juga pemangku ketua Bersatu Bahagian Hulu Selangor dijadikan isu kerana poster profilnya mencatat memiliki diploma dan sarjana tanpa ijazah.

Sementara itu, Setiausaha Publisiti DAP, Teo Nie Ching, mendakwa Fadhli terperangkap dengan permainannya sendiri dan terpaksa membangkitkan isu sekolah vernakular.

“Mungkin YB Pasir Mas kurang selesa bahawa Xiao Tao (Pang Sock Tao) belajar di sebuah SJKC.

“Tetapi, ada juga pimpinan PAS menghantar anak-anak mereka ke SJKC seperti ramai ibu bapa Melayu yang lain,” katanya dalam kenyataan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.