Monday, April 29, 2024

Video disalah sunting, Teo lapor polis

 

Setiausaha Publisiti DAP Teo Nie Ching berkata laporan polis dibuat berhubung penyebaran video berkenaan yang didakwa berniat jahat dan berunsur fitnah. (Gambar Bernama)

HULU SELANGOR: Setiausaha Publisiti DAP Teo Nie Ching memaklumkan video yang dimuat naik di semua platform media sosialnya pada 26 April lepas telah disalah sunting dan disebarkan dengan niat jahat.

Beliau berkata video itu adalah mengenai akaun palsu yang diwujudkan atas nama calon yang mewakili kerajaan perpaduan Pang Sock Tao dalam PRK DUN Kuala Kubu Baharu.

Video itu adalah temu bual Teo dengan Bernama namun telah disalah sunting.

“Oleh itu, pada hari ini satu laporan polis dibuat oleh pegawai media saya terhadap individu-individu yang telah menyebarkan keratan gambar atau suntingan video tersebut di mana-mana platform, yang jelas berniat jahat dan merupakan satu fitnah keji terhadap DAP dan juga calon perpaduan dalam PRK ini,” menurutnya dalam catatan di laman Facebook.

Timbalan menteri komunikasi itu berkata pilihan raya bukanlah tiket untuk mana-mana pihak menyebarkan fitnah dengan niat mencetuskan perbalahan antara masyarakat pelbagai kaum dan agama.

“Seperti dalam video penuh tersebut, saya ingin menggalakkan masyarakat untuk buat semakan terhadap apa-apa kandungan teks, gambar atau video yang diterima dengan akaun atau laman rasmi sebelum menyebarkan sesuatu yang barangkali hanyalah berita palsu atau fitnah semata-mata,” katanya.

Khamis lepas, Teo berkata DAP meminta Meta menutup akaun palsu calon kerajaan perpaduan bagi PRK Kuala Kubu Baharu yang didakwa dicipta oleh pihak tertentu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.