Tuesday, April 2, 2024

‘Tegas’ sahaja tak cukup jadi warden asrama, kata ahli akademik

 

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata KPM sedia mempertimbangkan cadangan perjawatan warden bukan dalam kalangan guru dan penambahbaikan di sekolah serta asrama. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Ahli akademik berpandangan warden asrama harus dilantik di kalangan mereka yang mampu mengesan awal masalah pelajar, bukan hanya berperwatakan tegas seperti bekas anggota tentera.

Mengulas cadangan melantik bekas tentera bagi menangani gejala buli, Noor Azlan Ahmad Zanzali dari Universiti Muhammadiyah Malaysia berkata seseorang warden asrama juga perlu mempunyai kelulusan dalam bidang kaunseling dan mesra pelajar.

Menurut dekan Fakulti Pendidikan Sains Sosial dan Pendidikan Islam itu, kebimbangannya jika pesara tentera mengisi jawatan itu, mereka mungkin menggunakan pendekatan ‘keras’ serta tidak sesuai dalam pembelajaran masa kini.

“Asrama tidak boleh dilihat sebagai tempat makan tidur sahaja kerana turut berfungsi sebagai tempat mendidik.

“Harus ada program pembinaan modal insan, untuk beri sokongan kerana dari sudut akademik sudah berjalan di sekolah.. Warden yang mempunyai ciri-ciri ini boleh berfungsi sebagai warden yang baik,” katanya kepada FMT.

“Kalau ada kelulusan dan kebolehan, mungkin boleh kesan pelajar bermasalah kerana mangsa buli ini suka simpan rahsia.”

Beliau mengulas saranan Persatuan Veteran Angkatan Tentera PVATM supaya Kementerian Pendidikan (KPM) memberi peluang kepada bekas tentera menjadi warden sekolah berasrama susulan kesediaannya mempertimbangkan perjawatan itu diwujudkan bukan dalam kalangan guru.

Jumaat lalu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata KPM sedia menerima semua pandangan dalam mempertimbangkan perjawatan warden bukan dalam kalangan guru dan penambahbaikan di sekolah serta asrama.

Saedah Siraj dari Fakulti Pendidikan Universiti Malaya pula berkata ‘bekas askar tidak semestinya boleh melatih disiplin pelajar’ kerana mereka turut telah dilengkapkan dengan pelbagai kemahiran seperti perniagaan dan perancangan kehidupan selepas bersara.

“Tak semestinya bekas askar perlu diambil secara wajib bekerja di asrama menjaga disiplin, kerana disiplin pelajar bukan dengan kekerasan, tapi ada perkara lain perlu diketahui oleh guru-guru yang menjaga mereka,” katanya.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Kelantan Hassan Basri Awang Mat Dahan pula menyifatkan saranan PVATM sebagai cadangan yang baik namun ada keperluan perlu dipatuhi bekas askar jika ingin bekerja di sekolah.

“Anak-anak sekarang bukan macam dulu…manakala guru pula lebih kepada menjadi fasilitator..jadi warden dalam mendisiplinkan pelajar kena fahami watak-watak anak hari ini yang tak boleh disergah macam dulu, sekarang kita sergah dia lari sebab ada banyak rangkaian.

“Dulu tak ada tempat mengadu, sekarang kalau dia masuk dalam Facebook boleh lihat berapa ramai orang akan layan dia,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.