Tuesday, May 28, 2024

Kena belajar daripada Thailand gamaknya

 

Mohsin Abdullah

Thailand kalahkan Malaysia. Saya bukan bercakap mengenai sepak takraw Piala Dunia di mana Thailand menang kategori berpasukan tapi dikalahkan Malaysia dalam acara regu dan double. OK cukup pasal takraw sebelum saya terbawa bawa semangat Malaysia Boleh.

Saya bercakap mengenai pelancongan. Pada 19 Mei lalu dilaporkan Thailand destinasi paling popular di Asia Tenggara tahun ini. Tetapi tahun lalu, Malaysia yang duduk di atas mengatasi Thailand. Nombor satu atau dua, Thailand diakui destinasi popular. Pelancong datang dari seluruh dunia. Rakyat Malaysia pun suka melancong ke Thailand. Sama ada Bangkok, Pattaya, Phuket, Krabi, Chiang Mai. Pekan Golok pun orang Malaysia suka, apa lagi Hat Yai. Biasanya Hat Yai jadi pilihan apabila ada cuti pendek. Cuti hujung minggu pun jadi.

Menurut laporan Sinar Harian 1 Januari lalu, pelawat dari Malaysia ke Hat Yai meningkat dua kali ganda kepada 20,000 orang setiap hari semasa Krismas dan cuti hujung tahun. Saya ulangi 20,000 orang setiap hari, lantas menyumbang lebih 2 bilion baht kepada ekonomi tempatan dalam tempoh dua minggu sebelum 2023 berakhir. Sekali gus Hat Yai dilihat sebagai destinasi pilihan untuk penggemar percutian menarik dan mesra bajet.

Seperti dikatakan tadi Thailand memang digemari pelancong merata dunia. Dari Amerika, Eropah dan Asia termasuk Timur Tengah. Apabila bilangan pelancong jadi perbandingan, banyak pihak di Malaysia mendakwa Thailand menjadi pilihan ramai kerana seks. Yang berkata demikian termasuk mereka yang diberi tanggungjawab menarik minat pelancong ke negara ini. Menurut mereka Thailand menghidangkan perdagangan aktiviti seks sekali gus mempunyai kelebihan berbanding Malaysia, dan nightlife di bandar-bandar Thailand memang rancak.

Bukan maknanya Malaysia tidak ada orang yang menjalankan perdagangan aktiviti seks. Bukan bandar di Malaysia tidak ada nightlife, tetapi tidak sehebat di Thailand. Di Thailand ada lelaki cari perempuan, ada lelaki cari lelaki, ada lelaki yang serupa perempuan malah lebih cantik daripada perempuan. Semua ada tanpa banyak pantang. Sesiapa yang pernah ke Thailand tahu apa yang saya katakan ini. Perempuan cari perempuan saya tak tahu. Mungkin ada tetapi tidak secara terbuka. Mungkin. Betul itu semua daya tarikan untuk pelancong who want to have good time.

Tetapi bagaimana pula orang yang melancong bersama keluarga. Orang Malaysia ramai dalam kategori ini. Ibu bapa pergi dengan anak sama ada kecil atau remaja untuk bercuti. Adakah mereka juga datang kerana tertarik dengan aktiviti seks? Pasti tidak.

Begitu juga kumpulan makcik. Ada aunties dari Singapura naik bas persiaran pergi ke Hat Yai. Tiba Jumaat balik Ahad. Perjalanan yang makan masa berjam-jam. Takkan mereka pergi untuk check out the night sceneNight market, yes. Bandar-bandar di Thailand menawarkan sajian makanan yang sedap dan halal, elemen paling penting untuk pelancong beragama Islam. Ditawarkan barangan yang dijual pada harga murah. Paling tidak, affordable. Ada banyak pilihan. Selain pasar malam ada juga pasar terapung dan street food di Thailand menyelerakan.

Ertinya pelancong datang untuk menikmati makanan, sightseeing, dan membeli-belah. Ada grup makcik beli periuk, kuali, pinggan mangkuk di Thailand. Tidak lupa juga comforter. Sanggup angkut naik bas. Mengapa? Sebab mereka rasa berbaloi. Sememangnya worth it. Pertukaran wang pula biasanya memberi kelebihan kepada pembeli.

Yang datang dengan anak, tumpuan biasanya di bandar tepi pantai. Hotel bersih dan mesra bajet. Pantai bersih. Air laut biru kehijauan. Ada banyak aktiviti sukan air dengan harga OK. Oleh kerana itu pelancong pergi dan keep on coming. Maksud saya pergi tahun ini dan pergi lagi tahun depan. Mungkin sekali ini dengan parents atau parents-in-law.

Kesimpulannya Thailand menawarkan pakej percutian yang lengkap. Untuk yang suka nightlife dan juga yang suka benda selain nightlife. Menurut laporan, Thailand sedang meningkatkan usaha menarik lebih ramai pelancong jangka panjang dan banyak berbelanja. Cukup sebelum saya dituduh ditaja oleh badan pelancongan Thailand.

Bukan saya sarankan Malaysia menciplak formula Thailand. Bukan saya syorkan Malaysia guna perdagangan seks untuk menarik pelancong. Tetapi istilah ‘parti liar’ mesti dihuraikan dengan jelas. What constitute wild parties? Begitu juga larangan berseluar pendek walaupun di tepi pantai dan penjualan arak. Tidak dapat dinafikan ini boleh menakut pelancong bukan Muslim dan menjejaskan kedatangan pelancong. Semua itu mesti dihalusi dan dijelaskan kepada orang yang datang dan orang yang menyambut.

Malaysia sehingga kini sudah banyak melakukan kempen ‘jual’ Malaysia dan boleh dianggap berjaya. Jika tidak masakan tahun lalu Malaysia mengatasi Thailand sebagai destinasi paling popular. Malaysia must have done something right. Sekarang masanya untuk mendapatkan semula posisi nombor satu di Asia Tenggara.

Lebih banyak yang mesti dilakukan. Promosi wajar sering diperbaharui. Tidak ada formula yang kekal berjaya tanpa pembaharuan dan inovasi.

Ada satu hal yang saya diberitahu. Sering ada rungutan bahawa ramai peniaga dan juga mereka yang berurusan dengan industri pelancongan yang tidak tourist friendly, termasuk orang ramai apabila pelancong minta tunjukkan jalan ke tempat yang ingin dituju. Katanya lebih kerap masam muka daripada senyum manis. Betul ke? Kalau ye kenalah betulkan. Teringat orang Thai dengan sawadee mereka.- FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.