Tuesday, May 28, 2024

Terima kasih untuk sekuntum senyuman

 

Free Malaysia Today

i)

“Abang! Abang!”

Kedengaran suara berulang-ulang menyapa saya dari belakang. Saya menoleh dan berikan senyuman kepada seorang gadis Cina dan kawan lelakinya. Di tangan mereka ada beberapa helai risalah. Ini pemandangan biasa jika kita ke stesen LRT Bank Rakyat Bangsar untuk mengambil tren. Saya beri isyarat yang saya tak dapat berhenti untuk mendengar apa yang mereka nak cakap. Saya tahu leng lui (gadis cantik) dan leng zai (jejaka kacak) ini mewakili sebuah NGO untuk kerja-kerja kebajikan.

“Dua minit saja, abang!” pujuk si amoi.

“Maaf, abang nak cepat,” jawab saya dengan niat tidak mahu mereka berasa yang saya curiga dengan mereka. Mungkin mereka berasa saya mengesyaki mereka ini seperti kebanyakan scammer lain yang kerap menahan manusia lalu-lalang untuk melaksanakan modus operandinya.

“Oh! Abang nak berbuka puasa ya? Takpelah kalau macam tu,” kata leng zai.

Ya, ini kisah bulan puasa tahun lepas. Saya mengiyakan tekaan anak muda itu. Memang sudah lewat petang dan saya harus bergegas mencari kedai makan untuk berbuka puasa.

“Abang ni artis ke?” tanya amoi. Barangkali dia mahu melambat-lambatkan saya dengan terus berbual sebelum dia dapat laksanakan hajat sebenar. Saya senyum mendengar soalannya dan memberikan jawaban dengan mengangkat bahu. Saya tak tahu bagaimana menjawab dengan cara begitu boleh membuat mereka faham yang tekaan itu salah.

“Abang ni penyanyi?” Amoi menebak lagi sambil mengangkat penumbuk ke mulutnya menggayakan aksi penyanyi yang sedang memegang mikrofon.

“Tak,” jawab saya.

“Abang pemuzik?” nampaknya dia masih tidak mahu mengalah dan terus bertanya lagi. Saya geleng kepala.

“Abang pelakon?”

“Hmmm… sikit-sikit,” jawab saya sambil mengerling ke arah leng zhai yang hanya membiarkan amoi terus menyoal. Saya sendiri geli hati dengan jawaban saya. Baru berlakon dua telemovie berani mengaku pelakon.

“Oh! Saya ada dengar pasal cerita sikit-sikit tu,” jawab amoi.

Saya ketawa sambil berkata, “maksud saya, saya sikit-sikit je berlakon. Bukan berlakon cerita bertajuk Sikit-sikit.”

Kedua mereka ketawa. Ketawa mereka jelas ikhlas tidak dibuat-buat.

“Sebab abang ada gaya macam artis,” kata amoi lagi dengan jari telunjuknya berpusing-pusing di rambutnya. Ya, kalau lelaki berambut panjang itu mesti artislah agaknya.

Saya beri isyarat untuk pergi dan ternyata keduanya faham, mengangguk dan tidak bertanya lagi. Nampak wajah mereka seakan terhibur walaupun tidak dapat menerangkan kepada saya apa yang sedang mereka usahakan. Selang beberapa langkah, amoi tu melaung kepada saya, “Abang! Terima kasih untuk sekuntum senyuman!”

Saya mengangkat tangan. Amoi terus tersenyum. Leng zai melambai-lambai.

ii)

Sekitar 2011 saya pernah buat sebuah kempen mengumpul dana perubatan kedua anak istimewa saya untuk mereka mendapatkan rawatan khusus di sebuah hospital di Beijing, China. Beberapa kawan saya yang aktif melakukan kerja-kerja kemasyarakatan menyatakan kesediaan untuk menyertai kempen saya secara sukarela. Pelbagai aktiviti kami lakukan untuk mengumpul dana. Kami mengadakan persembahan seni, kami masuk juga slot di dalam program TV waktu pagi untuk mempromosikan kempen.

Selain itu, saya dan isteri dengan dibantu oleh kawan-kawan aktivis turun mengedar risalah kempen di tempat awam. Ketika itulah saya melihat berbagai reaksi orang awam apabila kami melakukan aktiviti tersebut. Ada yang menerima dan ada yang menolak untuk menerima risalah tersebut. Ada yang tidak melayan, ada yang menepis dengan tangan. Saya berasa cukup sayu. Lebih memilukan apabila melihat ada risalah yang mengandungi wajah anak-anak saya itu berselerak di dalam tong sampah tidak jauh dari kerja-kerja mengedar dibuat. Remuk hati dibuatnya. Bukan di tempat awam sahaja malah di program yang mana ramai juga kenalan saya di dalamnya, perkara sebegitu juga berlaku.

Dari situ saya belajar. Dari situ jugalah saya rasa saya diberi peluang oleh Tuhan untuk menghayati perasaan pihak lain. Sejak itu sampailah ke hari ini jika ada orang edar risalah tentang apa pun, saya akan ambil dengan baik, walaupun saya tidak berminat dengan isinya, saya takkan buang ia dekat dengan tempat mereka bekerja. Itu cara saya hormat dengan kerja mereka. Kerana saya pernah melaluinya maka saya sedar dan menaruh rasa setiakawan terhadap mereka. Ambil sajalah, tak ada ruginya. Senyum sahajalah, apa salahnya. Buat apalah nak menolak keras. Itu sikap saya. Ketika melihat risalah yang ada wajah anak saya tertimbus bersama sampah di dalam tong sampah, saya berasa saya dan isteri diletakkan di titik paling rendah selama hidup sebagai seorang manusia. Saya berazam tak mahu buat begitu kepada orang lain.

Saya bukan hendak mengajar siapa-siapa atau hendak meminta orang lain agar mencontohi saya. Saya sekadar ingin berkongsi cerita.

iii)

Memanglah di tepi jalan ada beribu macam perangai manusia. Ada yang betul dan ada juga perangkap untuk memperdayakan kita. Pandai-pandailah tapis mana yang betul. Mungkin orang seperti amoi dan leng zai tadi hampa tidak berjaya mendapat saya tetapi sekurang-kurangnya mereka tidaklah sedih kerana saya cuba menyantuni mereka dengan baik. Maka atas sebab itulah si amoi tersebut mengucapkan terima kasih kerana saya berikan senyuman.

“Abang! Terima kasih untuk sekuntum senyuman!”

Hmmm… menarik juga ayat amoi itu untuk dijadikan motivasi dan sedap juga dijadikan sebagai falsafah. Sehingga hari ini ungkapan terima kasih untuk sekuntum senyuman terngiang-ngiang di dalam ingatan. Ia seolah-olah penawar kepada hati saya yang pernah hancur dahulu kerana ditolak. Bagi saya setiap satu jiwa manusia di dalam dunia ini ada kisahnya tersendiri. Masing-masing ada tugas dan peranan, ada perjuangan peribadi yang menuntut pengorbanan.

Adakala kita berbuat sesuatu disebabkan oleh desakan. Ada juga kerana tanggungjawab. Dalam menunaikan semua itu mereka mengenepikan kepentingan peribadi dan berbuat sesuatu yang mereka sedar tidak disukai oleh orang ramai. Tapi mereka tetap buat. Ada yang buat kerja pelik yang tidak dibuat oleh kita seperti memberi makan pengemis, memberi makan kepada haiwan-haiwan tepi jalan. Bagaimana hati mereka terjentik untuk melakukan ini semua? Itulah rahsia kehidupan. Apabila melihat semua itu, saya sering tersenyum.

Sekali lagi, ucapan keramat terima kasih untuk sekuntum senyuman daripada amoi itu menjawab persoalan saya tentang kehidupan. Walaupun ada yang kita lihat seperti terabai kerana kita tak terlibat namun akan ada pihak lain yang membuatnya. Kita hargailah! - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.