Thursday, July 18, 2024

Sentimen pudar pengundi Cina di Sg Bakap

 

Free Malaysia Today
Hanya 47% pengundi Cina keluar memilih pada PRK Sungai Bakap, 6 Julai, menyaksikan Pakatan Harapan hilang hampir 2,000 undi. (Gambar fail)

NIBONG TEBAL
Mekanik anak tempatan, Ah Ken, yang tegar berkempen untuk PKR dan perjuangan reformasi Anwar Ibrahim sejak awal 2000, menyifatkan berlaku perubahan drastik sentimen orang Cina pada PRK Sungai Bakap, 6 Julai.

Dia yang kini berusia lingkungan 60-an, berkata orang Cina sangat ‘marah’ dengan situasi semasa ekonomi negara.

“Orang Cina sangat marah. Ada yang merenyuk risalah Cikgu Joohari (calon Pakatan Harapan) dan baling kepada kami dan menyuruh kami beredar.

Ada yang tutup pintu. Kebanyakan mereka kecewa barang mahal,
 katanya kepada FMT pada majlis penghargaan buat pekerja kempen Sungai Bakap, baru-baru ini.

Apa disebut Ah Ken seakan mengiyakan faktor hanya 47% pengundi Cina keluar memilih pada PRK Sungai Bakap, mengakibatkan PH kehilangan hampir 2,000 undi. Kumpulan pengundi berkenaan mewakili 22.5% daripada 39,279 pengundi berdaftar.

Calon Perikatan Nasional (PN) Abidin Ismail menang dengan majoriti 4,267 undi. PRK itu merekodkan jumlah keluar mengundi 63.4%, iaitu 13% lebih rendah berbanding PRN Pulau Pinang, Ogos tahun lalu.

Menurut data PN, 90% pengundi Melayu menyokong calon PAS, manakala 10% pengundi Cina memilih calon pembangkang, selain gabungan itu mendapat 35% undi masyarakat India.

Data PH pula menunjukkan walaupun tewas, undi Cina dan India kepada gabungan itu masing-masing 90% dan 65%, manakala sokongan Melayu pada 20%.

Protes dasar

Temu bual dengan pekerja kempen PH dan pengundi Sungai Bakap, mendedahkan sokongan mengejut 10% masyarakat Cina kepada PN dan tindakan enggan keluar memilih, menjadi satu suara bantahan terhadap dasar nasional yang tidak popular.

Pekerja kempen dan pengundi ditemui, berkata program subsidi diesel tidak jelas dan mereka beranggapan berlaku pengabaian terhadap beberapa isu menjadi kebimbangan.

Kelly Yeoh daripada PKR yang berkempen di satu kawasan daerah mengundi Sungai Bakap, berkata kemarahan bukan sahaja terhad kepada masyarakat Cina, malah berlaku pada semua kaum lain.

Katanya, pengundi bukan enggan memilih Cikgu Joohari, namun situasi semasa tidak memberi kelebihan kepadanya mengambil kira peningkatan harga diesel. Mereka yang mengundi PN memilih pembangkang kerana tiada pilihan lain dan ia dilihat sebagai undi protes.

Pengundi, Edwin Mok, 36, berkata pengundi Cina merasakan tiada perbezaan akan berlaku memandangkan tiada perubahan tampuk kerajaan negeri, tanpa mengira parti mana menang. PH dan Umno menguasai dua pertiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

Katanya, status quo buat PN jika menang selain pengundi Cina merasakan kerajaan perpaduan tidak patut menang dan ingin menghantar peringatan kepada mereka yang berkuasa untuk bekerja lebih baik.

Kurang pengaruh ‘pemimpin bintang’

Veteran DAP, Teoh Seang Hooi, berkata ketiadaan personaliti berpengaruh berkempen merupakan kesilapan terbesar PH hilang undi masyarakat Cina.

Katanya, kekuatan oratori Lim Guan Eng, Nga Kor Ming, dan Lim Kit Siang mampu memujuk pengundi kolar biru orang Cina dan mempengaruhi mereka keluar memilih.

Teoh yang pernah bertanding di kerusi Jawi pada 1999 dan 2004 atas tiket DAP, namun tewas, berkata perkara asas menjadi referendum kepada kerajaan.

Pendidikan adalah penting bagi masyarakat Cina. Isu bukan Melayu tidak dapat masuk kolej matrikulasi, dan program dwibahasa mengecewakan mereka,
 katanya.

Pengumuman Anwar berkait perkara itu terlalu lewat, kata Teoh yang juga pengerusi persatuan ahli majlis Pulau Pinang dan Seberang Perai.

Katanya, bukan Melayu juga sangsi dengan agenda reformasi, yang mana dikatakan ketika ini sekadar kosmetik semata-mata.

Perubahan strategi kempen PH

Penganalisis James Chin dari University of Tasmania, berkata ketiadaan pemimpin utama DAP seperti Guan Eng dan Kit Siang, didakwa menjadi strategi disengajakan untuk mengelak berlakunya polarisasi.

Kita ada mendengar pada majlis makan malam masyarakat Cina, hadirin bertepuk tangan apabila diumumkan PH kalah Sungai Bakap. Jadi, ia strategi disengajakan mengelak pemimpin ‘heavyweights’ berucap,
 katanya.

Chin berkata, pengundi Cina menyokong PH di peringkat Parlimen bagi mengekang PAS, namun menghantar isyarat pada PRK Sungai Bakap kepada Anwar Ibrahim, yang kelihatan lebih mengutamakan elemen sayap kanan, berbanding memperbaiki ekonomi.

“Barometer sebenar buat penyokong Anwar adalah ekonomi kerana ia menjadikan orang Melayu dan bukan Melayu gembira. Sedia maklum dalam politik Malaysia, anda tidak boleh hidup tanpa undi Melayu.

Mungkin Anwar berpandangan beralih kepada sayap kanan menggunakan identiti politik Islamik adalah caranya,
 katanya.

Katanya, bagaimanapun ia bukan kaedah sesuai memandangkan ia tidak mampu melawan pengaruh PAS.

Satu-satunya cara menang undi Melayu adalah menyelesaikan perkara ekonomi, dan bonusnya adalah meraih undi Cina dan India juga,
 katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.