Tuesday, November 26, 2024

Bahasa untuk semua

 

Mohsin Abdullah

Ada pertanyaan yang ditimbulkan sejak kebelakangan ini secara terang atau secara ‘bunga-bunga’ membabitkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Ini berikutan operasi papan tanda yang dijalankan baru-baru ini. Pertanyaan berbunyi adakah DBKL rasis?

Dalam cuba mencari jawapan kepada pertanyaan itu perlu ditanya apa sebenarnya yang DBKL lakukan dan ke atas siapa? Butiran agak samar-samar.

Ada pihak kata sasarannya ialah premis milik peniaga Cina yang tidak guna bahasa Melayu untuk papan tanda perniagaan, ertinya papan tanda guna bahasa Cina sahaja. Tapi kata Ahli Lembaga Penasihat DBKL Andre Lai, operasi DBKL mensasarkan papan tanda haram atau illegal signage. Bukan hanya membabitkan penggunaan bahasa Cina. Jadi kalau ikut apa yang Lai katakan tiada elemen ras.

Namun dakwa Timbalan Ketua Pemuda MCA Chong Yew Chuan banyak papan tanda di Kuala Lumpur yang memberi keutamaan kepada bahasa Inggeris dan bahasa lain. Tidak pula disebut apa bahasa lain itu. Apa pun beliau persoal mengapa hanya kedai berpapan tanda Bahasa Cina yang disasar. Secara spesifik beliau merujuk lima kedai.

Bagi saya jika DBKL mengambil tindakan ke atas peniaga atau pemilik premis yang tidak guna bahasa Melayu pada papan tanda mereka, DBKL sekadar menjalankan tugas berpandukan peraturan. Bukan tindakan rasis. Semua maklum penggunaan bahasa Melayu wajib sebab bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan.

Bagaimanapun bagi premis yang untuk sekian lama sudah memaparkan tulisan Cina di atas tiang atau dinding kedai tidaklah perlu diarah mengalih atau memadam tulisan. Ini bagi saya ada elemen artistik. Setuju atau tidak terserah kerana saya bercakap mengenai bangunan rumah kedai wujud sebelum Merdeka atau didirikan pada tahun-tahun awal kemerdekaan.

Apa lagi jika tindakan diambil ke atas premis yang walaupun bertiang bahasa Cina tetapi tetap punya papan tanda bahasa Melayu sebagai sampingan. Kalau ada isu pun mungkin soal tidak mematuhi spesifikasi yang ditetapkan. Jika begitu keadaannya arahan untuk perbetul keadaan boleh dikeluarkan di samping ‘sedikit’ denda kerana tidak ikut specs in the first place. Sudah memadai.

Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan lantas wajib difahami dan digunakan oleh setiap rakyat tanpa ambil kira bangsa, agama dan keturunan. Orang bukan Melayu janganlah kaitkan bahasa nasional dengan orang Melayu secara khusus meskipun ia bahasa Melayu. Orang Melayu jangan pula menganggap bahasa Melayu khas bahasa mereka sahaja. Dalam konteks bahasa nasional, bahasa kebangsaan bahasa kita semua.

Saya ada baca dalam ruang komen untuk pembaca portal berita dalam talian yang walaupun tidak dinamakan saya percaya orang yang buat komen bukan orang Melayu. Sebenarnya ia merupakan pertanyaan. Beliau bertanya bolehkah guna bahasa kebangsaan jika yang ingin diiklankan di atas papan sesuatu yang haram untuk orang Melayu yang sememangnya beragama Islam. Tidakkah nanti akan menimbulkan kemarahan orang Melayu-Islam?

Satu soalan yang bagus saya kira walaupun si penanya jelas mengaitkan bahasa kebangsaan dengan bahasa Melayu. Contoh untuk uar-uarkan perkhidmatan di rumah urut. Ini rumah urut yang pelanggan bukan diurut secara tradisional. Body massage di sini punya maksud tersendiri. You know what I mean.

Jika menggunakan bahasa kebangasaan mesejnya ditujukan kepada semua rakyat yang faham bahasa kebangsaan, bukan ditujukan khas untuk orang Melayu. Jika ada orang Melayu yang mahu diurut disitu itu soal lain. Bagaimana rumah urut seperti itu wujud di negara ini itu pun soal lain.

Soalnya orang Melayu jangan pula sensitif dan marah dengan adanya papan tanda berkenaan. Ia ditujukan untuk semua rakyat yang wajib faham dan fasih bahasa kebangsaan.

Oleh itu jika ada iklan yang melaungkan penjualan roti babi, janganlah orang Melayu sakit hati pula. Ia ditujukan kepada orang yang boleh makan roti itu.

Bahasa kebangsaan untuk semua. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.