Friday, November 22, 2024

Bertolak ansurlah

 

Mohsin Abdullah

Orang muda mungkin tidak tahu ‘Ngap Sayot’. Saya kata mungkin kerana saya tidak tolak kemungkinan ada juga orang muda yang tahu, terutama orang muda Sarawak. Tapi yang saya pasti atau hampir pasti ialah golongan orang lama khusus peminat bola sepak tanah air tahu apa itu ‘Ngap Sayut’.

‘Ngap Sayut’ adalah slogan yang bererti ‘mudah untuk dikalahkan’. ‘Ngap’ membawa maksud ‘makan’ manakala ‘Sayut’ pula adalah sayur. Ia dialek tempatan Sarawak dicampur bahasa pasar. Jadi ia membawa makna lawan mudah dijinakkan, senang dan mudah dijamah seperti makan sayur.

Slogan ‘Ngap Sayut’ dicipta orang kuat bola sepak Sarawak, Awang Mahyan, untuk menyuntik semangat pasukan Sarawak yang dipimpinnya dan beliau berjaya. Pasukan Sarawak bersemangat menunjukkan daya juang dan gaya permainan cantik pada tahun 1988 hingga 1990.

‘Ngap Sayut’ bukan sahaja meniup semangat pemain malah peminat dan boleh dikatakan seluruh rakyat Sarawak bersemangat dibuatnya. Bagaimanapun ada golongan ‘terpaling Sarawak’ yang mengambil kesempatan membakar sentimen anti persekutuan atau orang Malaya terutama apabila kontroversi timbul dalam perlawanan membabitkan Sarawak dengan pasukan dari Semenanjung Sesuatu yang saya kira mengecewakan pencipta slogan Ngap Sayut itu sendiri.

Mereka menghasut kononnya Sarawak dianiayai oleh pengadil perlawanan yang merupakan ‘orang Malaya’, berat sebelah menyebelahi ‘pasukan Malaya’, supaya Sarawak kalah. Mereka juga menuduh pemain Sarawak dianaktirikan semasa skuad kebangsaan dipilih, sebabnya dakwa mereka yang memilih ‘orang Malaya yang pasti pilih orang mereka’.

Oleh kerana bola sepak sukan popular ramai juga orang Sarawak yang termakan akan tuduhan yang dilempar. Di luar gelanggang bola sepak ada juga golongan hardcore atau extreme yang membawa agenda anti-persekutuan. Golongan itu wujud hingga sekarang. Mereka termasuk rakyat Malaysia dari Sarawak dan Sabah yang duduk di luar negara.

Dalam artikel di FMT 25 Oktober lalu, saya ada menulis polis sedang menyiasat insiden di Melbourne di mana Jalur Gemilang diturunkan konon sebagai simbolik penamatan ‘penjajahan’ Malaysia ke atas Sarawak dan Sabah serta menjadikan kedua-dua republik.

Bukanlah rahsia ada rasa tidak puas hati dalam kalangan orang Sarawak dan Sabah atau orang Borneo terhadap pelaksanaan beberapa perkara dalam Perjanjian Malaysia 1963 atau MA63. Diakui ada perkara yang tidak menguntungkan Borneo tetapi adalah tidak adil untuk menuduh kerajaan persekutuan yang dulu atau pun sekarang tidak mengendahkan rungutan dan keluhan Sarawak dan Sabah. Banyak isu yang telah dan sedang dibereskan. Diakui bukan semua memuaskan hati Borneo.

Saya ingin mengimbau kembali satu artikel yang saya tulis untuk The Edge pada April 2019. Yang ingin saya paparkan di sini ialah langkah kerajaan Pakatan Harapan waktu itu untuk meminda Perlembagaan Persekutuan yang antaranya dikatakan bertujuan ‘membawa kebaikan kepada rakyat Sarawak dan Sabah’.

Usaha itu gagal kerana tidak mendapat sokongan majoriti meskipun PH ketika itu memegang kuasa 2/3 dalam Dewan Rakyat. Ertinya ia gagal kerana ada Yang Berhormat dari Sarawak dan Sabah sendiri tidak menyokong pindaan yang dilihat ‘bagus’ untuk kedua-dua wilayah itu. Atas desakan mereka Sarawak dan Sabah diiktiraf kerajaan persekutuan sebagai wilayah bukan negeri dalam Malaysia.

Saya tidak bercadang menghurai mengapa mereka tidak menyokong pindaan itu tetapi ingin mengulangi kata-kata Zainnal Ajamain, yang masa itu penasihat kerajaan Sabah mengenai MA63. Beliau menyifatkan apa yang berlaku yakni Ahli Parlimen Borneo tidak menyokong pindaan berkenaan sebagai satu ‘horror show’ kerana “saya tidak tahu berapa lama lagi kita harus tunggu untuk mendapat peluang seperti ini”.

Sekarang kita sedang berdepan beberapa tuntutan kerajaan Sarawak. Ini berlaku walaupun banyak juga permintaan yang sudah dipatuhi kerajaan persekutuan dulu atau sekarang. Sedikit sebanyak ada kuasa autonomy. Contoh terbaharu yang diberi tahun lalu berhubung kesihatan dan pendidikan. Memberi gambaran seolah-olah Malaysia satu negara dua dasar.

Sejak kebelakangan ini kita tahu Sarawak mahu Petros, syarikat milik kerajaan negeri, menjadi agregator gas tunggal untuk Sarawak. Ertinya mengenepikan pembabitan Petronas. Bagi saya hasil Petros untuk kegunaan dan kebaikan Sarawak sahaja manakala hasil Petronas untuk kegunaan dan kebaikan semua negeri termasuk Sarawak. Ini sudah berlaku selama 50 tahun.

Apa pun saya faham setiap pemimpin politik Sarawak khususnya yang dalam kerajaan wajib berjuang untuk kepentingan negeri dan rakyatnya juga kedaulatan negeri. Ini juga boleh membawa keuntungan politik. Namun saya tetap setuju dengan pendapat bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim bahawa rundingan mesti diutamakan bukan ugutan.

Zaid merujuk ‘teguran keras’ Adun Sarawak untuk kawasan Stakan Hamzah Brahim ke atas Petronas dan kerajaan persekutuan tempoh hari. Panjang lebar serangannya. Saya ringkaskan begini. Beliau mendakwa Petronas tidak menghormati undang-undang Sarawak, sekali gus memberi amaran kepada kerajaan persekutuan agar tidak membenarkan ‘rasa bangga dan tamak’ Petronas menjadi penyumbang tumbangnya kerajaan Madani.

Kita tahu blok Borneo khususnya Sarawak tahu mereka adalah king maker dalam arena politik Malaysia. Mana-mana gabungan politik perlu sokongan mereka untuk memerintah Malaysia. Saya kira apa yang dikata Hamzah ada kaitan dengan hakikat ini.

Saya tidak dapat elak bertanya adakah beliau yakin pihak yang mengambil alih sebagai kerajaan persekutuan (jika ia benar terjadi) akan turuti apa yang Sarawak tuntut sepenuhnya?

Hamzah juga menyelar pemimpin-pemimpin yang beliau tuduh ‘hipokrit’ apabila secara terbuka menghormati MA63 tetapi meremehkannya di belakang. Beliau bagaimanapun tidak menamakan siapa pemimpin-pemimpin itu.

Petronas serta kerajaan persekutuan dan Petros serta kerajaan Sarawak mengakui bertindak berpandukan perundangan dan perjanjian, maka kata Zaid “saya percaya ada isu perundangan dan perlembagaan yang serius perlu dipertimbangkan dan dua-dua pihak berilah setiap hujah undang-undang”.

Saya juga setuju dengan Zaid bahawa “kita rakyat Malaysia tidak biasa dengan peras ugut. Kita lebih suka berunding”. Premier Sarawak Abang Johari sangat lantang menyuarakan kedudukan Sarawak dari segi undang-undang lantas kini kata Zaid “sudah tiba masa untuk dengar pendirian kita”.

Berundinglah. Tetapi datang ke meja perundingan dengan minda terbuka. Jangan datang dengan keputusan yang dibuat sebelum rundingan diadakan. Perlu ingat dalam apa juga perbincangan dan perundingan bukan semua yang dituntut akan didapati. Wajib ada sikap tolak ansur demi kebaikan sendiri.

Tolonglah jangan anggap pihak sebelah sana boleh dingap bagai sayur. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.