Friday, November 22, 2024

Saman ‘copy & paste’

 

hishamuddin-aun

Johari Abdul menanti lebih sedikit daripada empat bulan untuk ia tiba dan ia bukan pun sesuatu yang tidak dijangkakannya. Bersatu pada 15 Nov memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap speaker Dewan Rakyat itu atas keengganannya mengisytiharkan kerusi Parlimen disandang lima bekas Ahli Parlimen parti itu kosong.

Bersatu menerusi saman itu mendakwa Johari melanggar peruntukan melarang lompat parti yang terkandung dalam Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan dengan enggan mengisytiharkan lima kerusi itu – Bukit Gantang (Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal), Gua Musang (Mohd Azizi Abu Naim), Tanjong Karang (Dr Zulkafperi Hanapi), Jeli (Zahari Kechik) dan Kuala Kangsar (Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid) – kosong.

Daripada asalnya enam Ahli Parlimen parti itu yang menyuarakan sokongan terbuka kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim hingga keahlian mereka dalam Bersatu dimaklumkan terhenti melalui notis pada 12 Jun lalu, cuma Suhaili Abdul Rahman (Labuan) tidak dinamakan defendan dalam saman itu kerana berbanding yang lain, beliau telah lebih dahulu dipecat daripada parti.

Bukan saja tidak gabra, malah jauh sekali daripada berasa tertekan, Johari dalam reaksinya kepada media pada Selasa menghormati tindakan parti berkenaan kerana itu hak mereka di samping sedia berdepan dengan prosiding mahkamah, dan akan akur dengan keputusan mahkamah kelak.

Tiada keluh, tiada juga kesah lantaran ia bukan kali pertama dihadapinya. Malah, harus tidak salah untuk Johari mempunyai jangkaannya sendiri terhadap bagaimana kes itu akan berkesudahan kerana sudah ada duluan di samping memiliki ‘kedudukan istimewa’ selaku speaker Dewan Rakyat.

Mari kita imbau kembali kes hampir serupa pada bulan November 2023 apabila Mahkamah Tinggi menolak permohonan Bersatu untuk memulakan semakan kehakiman yang difailkan oleh Naib Presiden Ronald Kiandee dan pegawai awam parti Muhammad Suhaimi Yahya pada 17 April 2023 terhadap Johari dan empat Ahli Parlimen dari Sabah yang mengumumkan keluar parti.

Ketika itu, Bersatu memohon supaya Johari mengisytiharkan ada kekosongan kerusi Parlimen disandang Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang), yang masih kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan menyokong kerajaan pimpinan Anwar.

Empat Ahli Parlimen itu dipilih atas tiket GRS pada PRU15 manakala Bersatu adalah sebahagian daripada GRS. Bagaimanapun, selepas PRU15, GRS menggugurkan Bersatu sebagai ahli gabungan.

Berikutan itu, Bersatu memohon perintah untuk membatalkan keputusan Johari yang menyatakan empat Ahli Parlimen berkenaan sudah memberi penjelasan dan mengesahkan tiada berlaku kekosongan kerusi Parlimen terbabit berdasarkan tafsiran perlembagaan GRS dan Bersatu.

Bersatu juga memohon satu deklarasi bahawa empat Ahli Parlimen itu berhenti menjadi ahli Dewan Rakyat mengikut Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan selain perintah supaya Johari mengesahkan berlakunya kekosongan luar jangka bagi semua kerusi Parlimen terbabit.

Peguam kanan Persekutuan mewakili Jabatan Peguam Negara (AGC) Ahmad Hanir Hambaly ketika itu berkata permohonan Bersatu perlu ditolak kerana tidak tertakluk kepada semakan kehakiman menurut Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan — apa-apa prosiding dalam mana-mana majlis Parlimen atau mana-mana jawatankuasanya tidak boleh dipersoalkan di mahkamah.

Hakim Amarjeet Singh ketika menolak permohonan itu pada 16 Nov 2023 berkata pihaknya terikat dengan keputusan kes di Mahkamah Persekutuan bahawa Mahkamah Tinggi tiada bidang kuasa untuk menyoal keputusan speaker Dewan Rakyat atas kekosongan empat kerusi berkenaan mengikut Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan.

Dalam penghakiman bertulisnya pada 27 Nov, Amarjeet berkata beliau terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan bahawa keputusan speaker sama ada wujud kekosongan tidak boleh diadili di bawah Perkara 63(1) Persekutuan Perlembagaan.

“Saya tidak boleh mengabaikan duluan yang mengikat dan undang-undang yang diselesaikan,” katanya. Bersatu kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan untuk mencabar keputusan Mahkamah Tinggi itu tetapi tarikh pendengaran rayuan belum ditetapkan hingga kini.

Namun, seperti kata Johari dalam kes membabitkan lima bekas Ahli Parlimen Bersatu di Semenanjung itu, ia adalah hak parti berkenaan untuk memanjangkannya ke mahkamah.

Dengan bersandarkan pada fakta kes yang sedikit berbeza, parti itu harus mengharapkan pengadilan yang berbeza juga di sebalik ia mungkin dilihat sebagai saman ‘copy & paste’ daripada kes membabitkan empat Ahli Parlimen dari Sabah sebelum ini.

Menerusi dokumen saman tersebut, plaintif memohon perisytiharan antaranya Johari bertindak menyalahi peruntukan nyata Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan apabila secara salah membuat keputusan tidak berlakunya kekosongan luar jangka bagi lima kerusi Parlimen terbabit melalui surat bertarikh 9 Julai lalu.

Dua plaintif ini turut memohon perisytiharan bahawa mahkamah berhak memperbetulkan mana-mana tafsiran salah, termasuk tafsiran oleh Johari, atau mana-mana speaker Dewan Negeri dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Johari menerusi surat bertarikh 9 Julai 2024 menyatakan bahawa tidak berlaku kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan untuk keenam-enam kerusi bekas Ahli Parlimen Bersatu. Ia selepas Bersatu mengemukakan notis meminta enam kerusi Ahli Parlimennya yang beralih sokongan kepada perdana menteri dikosongkan.

Paling diingati ialah kenyataan Johari di Dewan Rakyat pada 11 Julai 2024 bahawa beliau bukan posmen ketika mempertahankan keputusan tidak mengosongkan kerusi disandang enam bekas wakil rakyat Bersatu itu walaupun menerima kritikan dan tekanan beberapa Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), terutama Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, Kiandee dan Ketua Whip PN Takiyuddin Hassan.

“Saya bukan posmen. Bila saya terima apa juga yang telah diberi pada saya seperti disebut Beluran (Kiandee), saya akan pasti… saya pasti… saya kaji semua, saya baca semua kenyataan-kenyataan dalam pindaan dibuat mengenai Perkara 49 (Perlembagaan Persekutuan). Maka saya ambil keputusan (bahawa) keputusan kekal seperti yang dimaklumkan kepada Beluran bahawa kekosongan tidak berlaku,” katanya.

Di sebalik Bersatu kini memanjangkan kes itu ke mahkamah, parti itu sendiri tidak pula mengemukakan cadangan kepada Jabatan Perdana Menteri bagi membolehkan akta antilompat parti dipinda bertujuan menambah baik akta berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman pada 15 Julai lalu berkata pindaan kepada Akta Perlembagaan (Pindaan) 2022 atau akta antilompat parti perlu dibincang dengan teliti dan dipersetujui secara dwipartisan.

Menyatakan setiap parti perlu memainkan peranan untuk tentukan calon mereka berpegang kepada disiplin parti masing-masing, tambahan dengan banyaknya pilihan raya yang berlaku, beliau menambah: “Kalau parti hendak mendisiplinkan dia (wakil rakyat) perlu ada cara lain seperti memanggil pengundi untuk menentukan sama ada ahli itu kekal atau terkeluar.”

Bersatu bagaimanapun memilih untuk mengulangi cara lama yang memungkinkan keputusan sama juga. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.