Tuesday, November 5, 2024

KKM terima 352 aduan perubatan estetik di premis tak daftar

Free Malaysia Today
Dzulkefly Ahmad berkata KKM tidak pernah memberi keizinan atau membenarkan sebarang prosedur estetik di pusat kecantikan. (Gambar Freepik)

PETALING JAYA
Kementerian Kesihatan (KKM) menerima 352 aduan berhubung isu komplikasi membabitkan perkhidmatan perubatan estetik di premis tidak berdaftar sepanjang 2023 hingga September tahun ini.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata sebanyak 306 aduan diterima melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) tahun lalu berhubung komplikasi selepas menjalani prosedur estetik.

“Pada 2024 (hingga September), KKM menerima sebanyak 46 aduan lagi berkaitan isu serupa,” katanya menerusi jawatan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab pertanyaan Teresa Kok (PH-Seputeh) berhubung aduan berkait kesilapan pembedahan kosmetik diterima KKM selain garis panduan untuk pusat kecantikan menjalankan prosedur itu.

Free Malaysia Today
Dzulkefly Ahmad.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata pakar perubatan bedah plastik di hospital Kerajaan menerima dan merawat 74 pesakit yang mendapat komplikasi daripada prosedur kecantikan dijalankan di premis tidak berdaftar terbabit.

Beliau menjelaskan jumlah itu mungkin tidak menggambarkan situasi sebenar kes terbabit kerana ada mangsa menerima rawatan di hospital swasta selain tidak bersedia membuat aduan.

“Kementerian Kesihatan tidak pernah memberi keizinan atau membenarkan sebarang prosedur pembedahan atau prosedur estetik invasif dijalankan di pusat-pusat kecantikan.

“Prosedur estetik invasif ini hanya boleh dijalankan di premis- premis yang berdaftar atau berlesen di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.

“Prosedur ini juga hanya boleh dijalankan pengamal perubatan berdaftar memegang Letter of Credentialing and Privileging (LCP) untuk Amalan Perubatan Estetik,” katanya.

Menurut Dzulkefly, mereka yang melakukan prosedur perubatan itu di pusat kecantikan boleh didakwa di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.