Penganalisis Mujibu Muis berkata platform itu boleh imbangi dominasi Bersatu dan PAS.

Selain itu, penganalisis berpandangan langkah terbabit hanya bersifat ‘kosmetik’ yang kononnya membuka ruang kepada Gerakan serta Parti Rakyat India Malaysia bersuara, berbanding dominasi PAS serta Bersatu.
Mujibu Muis berkata secara dasarnya cadangan itu boleh dilihat usaha memusatkan rundingan lebih-lebih lagi bagi meredakan ketegangan susulan pengunduran Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi gabungan pembangkang itu.
“Keberkesanan majlis ini bergantung kepada sifat kuasanya.

“Jika ia benar-benar berfungsi sebagai platform konsensus antara presiden-presiden parti, maka boleh imbangi dominasi Bersatu dan PAS secara lebih tersusun,” katanya kepada FMT.
Penganalisis dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu mengulas laporan FMT yang PAS akan mencadangkan penubuhan majlis penasihat PN bagi memilih pengerusi baharu.
Menurut sumber, majlis itu dicadangkan dianggotai Muhyiddin, Presiden PAS Hadi Awang, Presiden Gerakan Dominic Lau dan Presiden Parti Rakyat India Malaysia P Punithan.
Semalam, Muhyiddin mengumumkan perletakan jawatan pengerusi PN berkuat kuasa esok, menyusuli kemelut politik di Perlis, yang menyaksikan jawatan menteri besar beralih daripada PAS kepada Bersatu.
Sementara itu, Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri pula berpandangan majlis penasihat itu lebih bersifat kosmetik sekadar menunjukkan semua parti komponen PN ‘semangat’ dan ada mekanisme rundingan melantik pengganti Muhyiddin.

“Kritikalnya, majlis penasihat hanya berkesan jika ia benar-benar jadi platform konsensus bukan sekadar alat PAS mengimbangi Bersatu.
“Selain itu pengerusi PN yang bakal dipilih nanti boleh diterima semua pihak dan mampu tarik pengundi atas pagar serta bukan Melayu,” kata perunding kanan Asia Global Consulting itu.

Ariff Aizuddin Azlan dari UiTM pula menyifatkan cadangan itu sebagai kesungguhan PAS dan Bersatu mengukuhkan kerjasama dan mengelak konflik dalaman.
“Majlis penasihat ini beri gambaran PAS dan Bersatu akan lebih serius termasuk dalam usaha memilih calon pengerusi PN benar-benar berwibawa serta mengelakkan konflik dalaman,” katanya.
Bagaimanapun, Ariff berkata peranan majlis penasihat itu hanya akan berkesan untuk jangka panjang sekiranya diinstitusikan sepenuhnya melalui pindaan perlembagaan PN untuk badan itu diberi ruang dan kuasa mencukupi. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.