Bekas timbalan pengerusi SPR Wan Ahmad Wan Omar berkata kos mengadakan PRK untuk tiga kerusi itu mungkin mencecah RM100 juta.

Bekas timbalan pengerusi SPR, Wan Ahmad Wan Omar, berkata berbaki dua tahun untuk DUN Perlis terbubar secara automatik, kekosongan luar jangka tidak perlu diisi, melainkan speaker berpendapat kekosongan itu menjejaskan kedudukan majoriti kerajaan dalam DUN.
“Dalam situasi yang berlaku di Perlis ini, saya berpandangan terpecat keahlian dalam parti tidak menyebabkan tiga kerusi terbabit kosong kerana tiga wakil rakyat berkenaan sebenarnya gugur keahlian parti.
“Status sebagai Adun yang dipilih rakyat melalui pilihan raya kekal. Mereka tidak lompat parti. Sekarang, mereka duduk di dalam DUN sebagai (wakil rakyat) bebas. Mereka dianggap Adun bebas sehingga tamat penggal DUN sebelum PRU akan datang.
“Kerajaan pimpinan MB baharu bersandarkan sokongan lapan Adun (lima Adun Bersatu dan tiga wakil rakyat bebas) dijangka boleh bertahan sehingga PRU16,” katanya kepada FMT sambil memaklumkan kata putus terletak kepada SPR selepas mengambil kira Undang-undang Tubuh Negeri Perlis.
Beliau turut menyifatkan PRK untuk tiga kerusi DUN itu pembaziran dan merugikan wang rakyat kerana kosnya mungkin mencecah RM100 juta.

Sementara itu, badan pemantau pilihan raya, Bersih berkata, berdasarkan Fasal (5) Perkara 55 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis, SPR boleh mengadakan PRK jika speaker DUN memaklumkan tiga Adun yang diberhentikan itu menggugat sokongan membentuk majoriti semasa.
Pengerusi Bersih, Faisal Abdul Aziz, bagaimanapun berpandangan perkara itu bergantung kepada SPR sama ada perlu mengadakan PRK kerana menteri besar baharu telah dilantik dan sokongan majoriti masih wujud.
“Maka, di sini tertakluk sama ada SPR akan mengadakan PRK berdasarkan tafsiran sama ada benar ia menggugat sokongan yang membentuk majoriti. Ini kerana, dalam aspek semasa, DUN Perlis telah matang lebih tiga tahun.
“Dalam masa sama, kita juga harus ambil maklum titah Raja Perlis menyeru semua pihak bersatu dan menghentikan segala spekulasi, tohmahan serta perkara tidak diingini susulan pelantikan menteri besar baharu.”
Pada 25 Dis lalu, Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan dilaporkan berkata, pihaknya memohon kepada SPR untuk mengadakan PRK bagi tiga DUN susulan kekosongan luar jangka akibat kemelut politik dalaman Perikatan Nasional (PN) yang menjejaskan majoriti kerajaan negeri.
Susulan itu, Pengerusi SPR, Ramlan Harun pada Isnin lalu berkata, pihaknya akan bermesyuarat minggu depan berhubung pelaksanaan PRK selepas menerima notis pemakluman rasmi kekosongan tiga kerusi DUN.
Ia selepas PAS menghentikan serta-merta keahlian Adun Chuping, Saad Seman; Adun Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan Adun Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim pada 24 Dis lalu.
Kemelut di Perlis tercetus selepas lapan Adun PN mengemukakan akuan berkanun (SD) bagi menarik sokongan terhadap Shukri Ramli sebagai menteri besar, yang menyaksikan Adun Kuala Perlis daripada Bersatu, Abu Bakar Hamzah dilantik menggantikannya Ahad lalu.
Perlis mempunyai 15 DUN, dengan 11 kerusi dikuasai PN, tiga wakil rakyat bebas dan baki satu lagi kerusi – DUN Indera Kayangan milik Pakatan Harapan. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.