Suspek dipercayai melarikan diri dengan sebuah kenderaan selepas merompak sebuah kedai emas di Sky Avenue, pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Pahang, Azry Akmar Ayob, berkata siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek menaiki sebuah kenderaan menuju ke Genting Highlands untuk melakukan rompakan.
Katanya, suspek dipercayai memakai topi dan pelitup muka selain bersenjatakan kapak serta kuku kambing ketika menyerbu premis berkenaan.
“Semua mereka kemudian turut dikesan menuruni Genting Highlands, sejurus melakukan rompakan,” katanya lapor Berita Harian.
Azry berkata, pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, JSJ Kontinjen Pahang serta Bahagian Siasatan Jenayah IPD Bentong kini giat menjejaki suspek berdasarkan siasatan dan risikan yang dijalankan.
Sementara itu, media memetik sumber memaklumkan polis melancarkan Op Tutup pada kira-kira 12 tengah hari hingga petang tadi susulan kejadian rompakan itu.
Bagaimanapun, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kenderaan dinaiki suspek dipercayai sudah melepasi pusat pemeriksaan sebelum Op Tutup dilaksanakan.
Dalam kejadian kira-kira 11.40 pagi itu, ketiga-tiga suspek dilaporkan melarikan pelbagai jenis barang kemas dan emas dari kedai berkenaan.
Terdahulu, tular video dan gambar di media sosial memaparkan sekumpulan individu dipercayai merompak sebuah kedai di pusat beli-belah di Genting Highlands. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.