Jumaat lalu, seorang juruterbang Malaysia Airlines ditahan di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta atas dakwaan cuba menyeludup 25kg dadah.

Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Shuhaily Mohd Zain, berkata suspek telah melalui semua proses saringan keselamatan ditetapkan sebelum dibenarkan menaiki pesawat ke Indonesia pada 28 Julai lalu.
“Hasil pemeriksaan menggunakan mesin pengimbas tidak mengesan sebarang imej mencurigakan pada bagasi yang dibawa suspek, sekali gus membolehkannya melepasi saringan biasa di KLIA.
“Berdasarkan prosedur sedia ada, bagasi tersebut tidak mencetuskan tahap risiko yang memerlukan pemeriksaan lanjut atau pemeriksaan sekunder oleh petugas,” katanya menurut Sinar Harian dalam sidang akhbar di KLIA, Sepang.
Jumaat lalu, media melaporkan seorang juruterbang Malaysia Airlines berusia 39 tahun ditahan di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta selepas didakwa cuba menyeludup 25kg dadah.
Menurut Polis Republik Indonesia, pemeriksaan menemui 15 bungkusan mengandungi 70,114 pil ekstasi dan methamphetamine yang dianggarkan bernilai kira-kira RM45 juta mengikut harga pasaran Indonesia.
Suspek dipercayai menerima upah RM50,000 bagi membawa dadah itu dari Kuala Lumpur ke Jakarta, sebelum diambil individu lain di hotel penginapannya.
Polis Indonesia turut memaklumkan suspek mengaku pernah melakukan penghantaran dadah ke Jakarta dan Sabah, dengan siasatan sedang dijalankan bagi mengesan rangkaian sindiket di Malaysia serta republik itu.
Ditanya sama ada dadah yang dirampas pihak berkuasa Indonesia itu diterima dan dibawa juruterbang terbabit selepas pemeriksaan mesin pengimbas, Shuhaily menyerahkan siasatan itu kepada polis.
“Saya tidak dapat mengulas perkara ini, namun akan diperoleh berdasarkan siasatan dan maklumat yang diterima oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.”
Sementara itu, Pengarah JSJN Bukit Aman, Hussein Omar Khan, berkata polis Malaysia akan menghantar sepasukan pegawai penyiasatnya ke Indonesia bagi membantu siasatan kes itu.
“Kami sedang membuat persiapan untuk menghantar pegawai penyiasat ke Jakarta.
“Ia untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada pihak berkuasa Indonesia dan membantu siasatan yang sedang kami jalankan,” katanya menurut Harian Metro. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.