Aiman Athirah Sabu berkata sebarang kerjasama perlu ambil kira keserasian agenda, kepentingan rakyat dan komitmen terhadap tadbir urus baik.


Beliau berkata PH sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang berkongsi prinsip asas dalam usaha membina negara lebih baik, bersih, beramanah dan adil.
Menurutnya, sebarang kerjasama juga perlu mengambil kira kepentingan rakyat serta komitmen memperkukuh demokrasi, ekonomi, kebajikan dan tadbir urus negara.
“Bagi saya, politik bukan hanya soal siapa bersama siapa, tetapi lebih penting ialah apa nilai yang diperjuangkan bersama dan apakah manfaatnya kepada negara dan rakyat,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil bahawa PH perlu memperluaskan konsep ‘khemah besar’ dengan mencari rakan politik baharu sekiranya Umno memilih memperkukuh kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).
Aiman yang juga ketua Wanita Amanah berkata konsep ‘khemah besar’ itu tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman kepada mana-mana pihak atau tanda PH meragui kerjasama yang sedang dibina dalam Kerajaan Perpaduan.
Sebaliknya, katanya, ia mencerminkan realiti politik yang sentiasa berubah dan keperluan setiap gabungan mempunyai kesiapsiagaan menghadapi pelbagai kemungkinan.
“Sekiranya berlaku perubahan dalam landskap politik menjelang PRU16, PH akan menilai segala bentuk kerjasama berdasarkan prinsip, keserasian agenda serta kepentingan rakyat, bukan semata-mata berdasarkan percaturan kuasa,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim berkata cadangan Faiz mempunyai merit kerana PH tidak wajar bergantung kepada satu pilihan kerjasama sahaja dalam menghadapi PRU16.

“Dalam dunia politik sebenar tidak bijak jika PH hanya ada satu pilihan sahaja untuk kerjasama menghadapi PRU16,” katanya.
Hassan berkata Pengerusi PH Anwar Ibrahim wajar meneruskan usaha mendapatkan kerjasama Umno dan Barisan Nasional (BN), namun PH juga perlu menyediakan pilihan kedua sekiranya usaha itu gagal.
“Jika pilihan kerjasama pilihan raya PH dengan Umno-BN gagal dijalin, maka Plan B atau pilihan kedua perlu digerakkan dan pimpinan PH mulai sekarang,” katanya.
Bagaimanapun, Hassan berkata PH perlu menetapkan syarat asas sebelum membuka ruang kepada parti lain menyertai “khemah besar”.
“PH perlu ada ‘ground rule’ dalam menjemput parti-parti politik ke dalam khemah besar itu.
“Hanya parti-parti politik progresif, memperjuangkan demokrasi dan keadilan untuk semua rakyat serta ada ‘track record’ wajar dijemput,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.