Thursday, August 13, 2026

Pendaftaran peserta RXZ Members tak lengkap, JPJ mahu maklumat lesen diperinci

 JPJ mahu penganjur perkemas pendaftaran peserta termasuk dapatkan maklumat lesen memandu bagi meningkatkan tanggungjawab dan keselamatan program.

RXZ members terengganu
JPJ berkata penganjur RXZ Members sudah mendapatkan nasihat sebelum program berlangsung namun masih ada segelintir peserta yang gagal mematuhi peraturan. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Pendaftaran RXZ Members sebelum ini lebih tertumpu kepada pemberian barangan program dan cabutan bertuah, menyebabkan maklumat peserta tidak dikumpulkan secara lengkap.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Aedy Fadly Ramli, berkata penganjur sememangnya menyediakan proses pendaftaran, namun ia lebih kepada urusan mendapatkan barangan seperti cenderamata dan T-shirt serta penyertaan cabutan bertuah.

“Dia ada pendaftaran tapi tak lengkaplah. Pendaftaran biasa macam contoh untuk dapatkan goodies, T-shirt, sebagai tujuan untuk cabutan bertuah, dia tak ada pendaftaran untuk yang lain untuk penganjuran memantapkanlah,” katanya selepas program libat urus media JPJ di Marina Putrajaya.

Aedy berkata, JPJ sudah mengadakan sesi libat urus dengan penganjur RXZ Members dan mencadangkan supaya maklumat peserta seperti lesen memandu dan lesen kenderaan motor (LKM) turut dikumpulkan.

Ketua Pengarah JPJ Aedy Fadly Ramli ditemui selepas program libat urus media di Marina Putrajaya.

Katanya, langkah itu penting bagi memperkemas proses pendaftaran serta membolehkan penganjur mengambil tanggungjawab terhadap peserta yang menyertai program.

Menurutnya, penganjur menerima cadangan itu dan akan cuba melaksanakannya pada program akan datang.

Beliau berkata, penganjur juga sudah mendapatkan nasihat JPJ sebelum program berlangsung, namun masih ada segelintir peserta yang gagal mematuhi peraturan.

“Namun ada segelintir ini yang tidak mematuhi peraturan-peraturan ini yang mencemarkan imej program tersebut.

“Sebenarnya, pihak penganjur bila dia nak buat program ini, dia memang dah berjumpa dengan JPJ dan juga polis sebelum program itu berlangsung,” katanya.

Dalam pada itu, Aedy berkata JPJ tidak akan memberikan sokongan kepada penganjuran tersebut jika masih berlaku isu serius, khususnya kemalangan yang mengakibatkan kematian. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.