Bukan Malaysia tanpa kaum, dan bukan Malaysia satu kaum tetapi Malaysia yang menjadikan setiap kaum sebahagian yang dihargai daripada keluarga yang sama.

Kebelakangan ini ada satu seruan yang kedengarannya mulia – tinggalkanlah politik identiti, hentikan politik yang memecah-belahkan, dan fokuslah pada isu yang benar-benar penting seperti kos hidup, rasuah, pekerjaan. Tiada siapa yang akan membantah seruan menghentikan politik memecah-belahkan, tetapi apabila dikaitkan dengan politik identiti, di situ ada suatu yang tidak kena.
Ada satu hipokrasi yang tersembunyi dalam seruan ‘mari kita atasi politik identiti’ itu. Mereka yang melaungkannya menawarkan satu identiti lain sebagai ganti seperti ‘kewarganegaraan bersama’, ‘perpaduan nasional’, ‘kepentingan negara’. Itu pun sebenarnya adalah politik identiti. Mereka bukan meninggalkan identiti. Mereka cuma menukar satu identiti dengan yang lain, sambil berlagak seolah-olah telah mengatasi kesemuanya. Dalam konteks ini tiada tempat yang mendedahkan kekeliruan ini lebih terang selain daripada senario politik di Jepun.
Politik identiti tetap subur walaupun tanpa kaum
Jepun hampir tiada belahan kaum. Ia dianggap masyarakat yang satu bangsa (homogenus). Maka, mengikut logik pengkritik, sepatutnya ia kebal daripada politik identiti. Namun, yang berlaku sebaliknya. Rasa kebangsaan Jepun amat kuat, dan ia berpaksikan budaya, bahasa, adab, cara hidup, dan sejarah yang bersambung bersandarkan wacana nihonjinron tentang keunikan bangsa Jepun. Hari ini, tatkala kos hidup mencengkam, ia menjelma dalam wajah yang lebih keras. Parti populis Sanseito bangkit dengan laungan ‘Japanese First’, menyemarakkan cerita tentang ‘penyerbuan senyap’ pendatang.
Perhatikan apa yang dibuktikan oleh keadaan ini. Jika politik identiti boleh subur walaupun tanpa kepelbagaian kaum, maka bukanlah kaum yang melahirkannya. Kaum bukan teras politik identiti tetapi ia hanya salah satu bekasnya. Ia kebetulan hadir dalam kes Malaysia, tetapi ketiadaannya di Jepun tidak memadamkan politik identiti cuma menukar wadahnya.
Tiada siapa benar-benar berdiri di luar identiti
Perhatikan cara ‘Japanese-ness’ itu berfungsi. Ia dirasakan sebagai kedudukan biasa dan sejagat sedangkan ia sebenarnya satu identiti yang tegas, yang meminggirkan Ainu, Okinawa dan Korea-Zainichi. Inilah muslihat yang jarang disedari di mana identiti yang paling berkuasa selalu menyamar sebagai bukan-identiti. Golongan majoriti tidak terfikir yang mereka ‘beridentiti’. Bagi mereka, itu sekadar keadaan biasa, dan hanya orang lain yang dikatakan bermain politik identiti.
Di sinilah terletaknya hipokrasi dalam kalangan puak yang menentang politik identiti. Apabila seseorang menyeru kita mengatasi identiti lalu bersatu sebagai ‘rakyat Malaysia’, dia sebenarnya sedang menarik satu garis identiti juga. Cuma garisnya sudah dianggap semula jadi, jadi ia tidak kelihatan. Yang dikutuk sebagai ‘politik identiti’ ialah identiti orang lain. Manakala identiti sendiri diberi nama yang lebih manis ‘perpaduan’. Inilah hipokrasi tahap tinggi.
Jadi, apa makna identiti bagi Jepun?
Identiti di Jepun bukannya tiada, cuma ia tidak berpaksikan kaum. Apabila diteliti isinya jelas apa sebenarnya politik identiti itu. Ia bersandar pada tiga perkara.Pertama, bangsa sebagai budaya, bukan darah. Inti ‘Japanese-ness’ ialah bahasa, adab, cara hidup, dan warisan sejarah yang berterusan. Garis antara ‘kita’ dan ‘mereka’ tetap terpahat cuma ditarik mengikut budaya, bukan keturunan.
Kedua, kewarganegaraan dan keanggotaan. Apabila Sanseito melaungkan ‘Japanese First’, yang disasarkan ialah pendatang – orang asing, bukan kaum minoriti peribumi. Garisnya di sini ialah warga lawan bukan warga: siapa yang menjadi sebahagian daripada kontrak sosial, dan siapa yang dianggap mengaut tanpa menyumbang.
Ketiga, dan yang paling dalam, maruah. Identiti Jepun banyak bergantung pada harga diri kolektif – kebanggaan sebagai sebuah masyarakat yang tersusun dan berfungsi. Apabila gaji susut, yen lemah, dan orang luar dilihat tidak menghormati adat setempat, yang terluka bukan sekadar poket, tetapi maruah. Inilah thymos Fukuyama iaitu tuntutan manusia untuk dihargai. Politik identiti Jepun hari ini, sebahagian besarnya, ialah politik maruah yang tercalar.
Yang menentukan ialah keperluan, bukan kaum
Lihat implikasinya. Kaum hanyalah satu daripada sekian banyak cara untuk memenuhi satu keperluan yang lebih dalam: keperluan manusia atau untuk diiktiraf, diterima dan dihargai. Jepun memenuhinya melalui rasa berbudaya kebangsaan; Malaysia melalui kaum. Wadahnya berbeza, keperluannya sama. Cabut kaum, keperluan itu tidak lenyap tetapi hanya berpindah mencari bekas lain.
Pada dasarnya, politik identiti bukan semata soal kaum, budaya atau agama. Ia adalah satu persoalan yang lebih mendalam: siapa kita, dan siapa yang dilihat, dihormati serta dihargai sebagai ahli penuh dalam masyarakat. Itulah persoalan yang menjadi tajuk buku Gary Younge, Who Are We?, yang menunjukkan bahawa setiap manusia membawa banyak identiti serentak, dan bahawa identiti bukan sekadar label warisan, tetapi soal kepunyaan dan pengiktirafan. Tuntutan untuk dilihat dan dihargai inilah yang dinamakan Charles Taylor sebagai politik pengiktirafan. Axel Honneth pergi lebih jauh di mana menurut beliau hampir setiap perjuangan sosial, pada intinya, ialah perjuangan menuntut pengiktirafan dan penghinaan atau pengabaianlah yang menyalakan konflik.
Namun, ada satu perbezaan penting daripada Jepun. Di Jepun, pertikaian identiti berkisar tentang siapa yang layak masuk. Di Malaysia, kedudukan setiap kaum sudah termeterai dalam sejarah pembentukan negara kita. Perlembagaan yang sama yang mengiktiraf kedudukan istimewa orang Melayu itu jugalah yang mengiktiraf setiap kaum lain sebagai warga yang sah. Pengiktirafan bersama inilah asasnya bukan sentimen semasa atau pinjaman idea dari luar, tetapi perjanjian sejarah yang melahirkan negara ini.
Maka menentang politik identiti ialah menentang keperluan rakyat
Jika politik identiti tumbuh walau dalam masyarakat satu bangsa seperti Jepun, ia bukan kecacatan masyarakat majmuk dan bukan juga dosa satu kaum. Ia sifat yang kekal dalam hidup bermasyarakat yakni wajah politik bagi keperluan manusia untuk diterima dan dihargai. Menghukum politik identiti semata-mata kerana ia politik identiti sama seperti menghukum keperluan itu sendiri.
Maka dua salah faham perlu diluruskan. Pertama, mengecam ‘politik identiti’ sedangkan yang dibenci sebenarnya ‘politik kaum yang sempit’ bermakna mencampuradukkan dua perkara yang berbeza. Kedua, angan-angan bahawa kita boleh meninggalkan identiti dan fokus kepada dasar semata itu tidak berpijak. Jepun membuktikan identiti berterusan walau tanpa kaum. Kita tidak boleh menghapuskan identiti. Yang mampu kita pilih hanyalah sama ada melakukannya secara sempit dan menyembunyikannya, atau secara terbuka dan merangkumi.
Identiti bukan lawan prestasi, tetapi gejalanya
Ada satu lagi pengajaran dari politik Jepun, dan ia lebih menusuk. Dominasi Parti Liberal Demokrat (LDP) yang bertakhta berdekad-dekad tumbang dalam pilihan raya 2024 dan 2025 bukan semata-mata kerana skandal, tetapi kerana gaji sebenar merosot sementara harga melambung. Angka makro yang hebat tidak terasa di dapur rakyat. Perdana menteri ketika itu, Shigeru Ishiba, sendiri mengakui kekalahan ketika itu berpunca daripada usaha kerajaan meredakan kenaikan harga belum sampai kepada ramai rakyat – ayat yang boleh diguna pakai tentang Negeri Sembilan. Dan di celah keluhan itulah ‘Japanese Firs’ menyelinap masuk.
Maka identiti bukanlah lawan kepada prestasi; ia gejala prestasi yang tidak sampai. Apabila kem pembaharuan mengabaikan keperluan asas (makanan di atas meja), keluhan rakyat tidak lenyap, maka ia akan dikutip oleh politik identiti, lalu menang. Perdana menteri baharu Jepun, Sanae Takaichi, merampas semula kuasa pada Februari 2026 dengan mengahwinkan rayuan nasionalis dan pelepasan kos hidup sekali gus. Identiti dan meja makan, serentak.
Pengajaran untuk Malaysia
Kejujuran, dengan itu, bukanlah berkata ‘kita tiada masa untuk politik identiti’. Kejujuran ialah mengakui bahawa kita semua mengamalkannya. Persoalannya cuma yang mana. Yang sempit, beku dan berselindung, atau yang terbuka, jujur dan terangkum?
Di atas ketiga-tiganya berdiri bangsa Malaysia. Ia bukan penolakan politik identiti, dan bukan pemadaman Melayu, Cina, India, Iban atau Kadazan. Sebaliknya politik identiti yang lebih jujur dan lebih luas, berteraskan Perlembagaan dan Rukun Negara. Ia tidak mengabaikan sejarah, tetapi berdiri di atasnya. Tidak juga menggantikan perjanjian pengasas negara, tetapi menyempurnakannya. Setiap kaum ialah satu lantai dalam rumah yang sama dengan bangsa Malaysia sebagai bumbung yang menyatukannya.
Itulah pengajarannya iaitu bukan Malaysia tanpa kaum, dan bukan Malaysia satu kaum tetapi Malaysia yang menjadikan setiap kaum sebahagian yang dihargai daripada keluarga yang sama. - FMT
Penulis ialah profesor di Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan pengerusi teras politik di Musyawarah Nasional.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.