Saturday, August 8, 2026

Fomca gesa selenggara segera kios MyDigital ID rosak

 Gesaan menyusuli pengalaman seorang pengguna yang terpaksa mencari lokasi lain selepas dua kios di UTC Anggerik Mall gagal berfungsi.

Kios pendaftaran dan pengesahan MyDigital ID yang rosak di UTC Selangor, Anggerik Mall, Shah Alam.
PETALING JAYA:
Usaha kerajaan meningkatkan pengguna MyDigital ID mungkin terencat sekiranya kios pendaftaran dan pengesahan disediakan kepada orang ramai gagal berfungsi dan kerosakannya tidak ditangani segera.

Keadaan itu didakwa dialami seorang pengguna yang hanya mahu dikenali sebagai Lina apabila dua kios MyDigital ID di UTC Selangor Anggerik Mall, Shah Alam, didapati tidak berfungsi ketika beliau mahu melengkapkan pengesahan identiti.

Lina ke pusat transformasi bandar itu Selasa lalu selepas proses pengesahan menerusi telefon pintarnya gagal.

Namun, apabila tiba, beliau mendapati kios berkenaan tidak boleh digunakan dan dimaklumkan kemudahan itu sudah lama tidak diselenggara.

MyDigital ID
Kerajaan melancarkan dan membuka pendaftaran MyDigital ID bagi memudahkan pengesahan identiti secara selamat dan sah untuk pengguna dalam talian. (Gambar Bernama)

“Mujur ada pegawai membantu saya membuat pengesahan dan menunjukkan cara betul menggunakan aplikasi MyDigital ID.

“Tetapi jika pengesahan masih gagal, saya dimaklumkan perlu melakukannya menerusi kios,” katanya kepada FMT sambil menyifatkan keadaan itu boleh menyulitkan pengguna.

Fomca gesa penyelenggaraan berkala

Mengulas perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), T Saravanan, berkata kerosakan kios yang berlarutan boleh menjejaskan pengalaman pengguna dan mengurangkan keyakinan terhadap inisiatif pendigitalan kerajaan.

Katanya, kios pengesahan penting bagi pengguna yang tidak dapat melengkapkan proses menerusi telefon pintar dan bergantung kepada kemudahan fizikal disediakan kerajaan.

“Kerajaan sedang menggalakkan penggunaan MyDigital ID sebagai identiti digital nasional bagi memudahkan akses kepada pelbagai perkhidmatan.

“Justeru, setiap komponen dalam ekosistem ini perlu berfungsi dengan baik,” katanya.

Saravanan menggesa pengendali kios memastikan penyelenggaraan dilakukan secara berkala dan proaktif, bukannya hanya selepas menerima aduan pengguna.

Beliau turut menggesa pihak berkuasa memperkenalkan sistem pemantauan yang mampu mengesan kerosakan kios dengan segera supaya kerja pembaikan tidak bergantung kepada aduan pengguna semata-mata.

“Kejayaan MyDigital ID bukan hanya bergantung kepada teknologi yang dibangunkan, tetapi juga kualiti penyampaian perkhidmatan kepada pengguna.

“Kemudahan yang boleh diakses, boleh dipercayai dan diselenggara dengan baik adalah prasyarat penting untuk membina keyakinan rakyat terhadap agenda pendigitalan negara,” katanya.

FMT telah menghubungi MyDigital ID menerusi hotline dan e-mel.

Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi, pada 8 Julai lalu dipetik berkata 12 juta rakyat Malaysia sudah mendaftar MyDigital ID setakat 30 Jun lalu, dengan 16 juta transaksi melibatkan pendaftaran, pembaharuan dan pembatalan identiti digital direkodkan.

Sebanyak 114 perkhidmatan kerajaan dalam talian juga dilaporkan sudah disepadukan dengan MyDigital ID, termasuk MyJPJ, MyPTPTN, SPA9 dan MyBayar PDRM. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.