Penduduk berharap hospital pakar itu dapat mempercepatkan rawatan kecemasan dan kepakaran, selain mengurangkan kesesakan serta tempoh menunggu di HTJ.

Menyambut baik usaha Kementerian Kesihatan itu, penduduk berkata kemudahan kesihatan awam yang lebih dekat amat diperlukan, terutama bagi warga emas, pesakit kronik dan mereka yang tidak mampu mendapatkan rawatan di hospital swasta.

Muhammad Aqil Mohd Khalid, 22, berkata hospital baharu itu akan memberi manfaat kepada pesakit yang memerlukan rawatan berkala.
Katanya, HTJ kini menjadi hospital rujukan utama di Negeri Sembilan sehingga menyebabkan pesakit adakalanya perlu menunggu lama untuk mendapatkan rawatan.
“Dengan adanya hospital baharu ini, saya harap kesesakan dan tempoh menunggu dapat dikurangkan supaya urusan pesakit menjadi lebih mudah,” kata pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu.

Eksekutif pemasaran, G Dharnes, 25, pula berkata lokasi hospital di Bandar Enstek akan mempercepatkan akses penduduk sekitar Nilai kepada rawatan kecemasan.
Menurutnya, hospital kerajaan baharu itu juga penting kerana bukan semua penduduk mampu mendapatkan rawatan di hospital swasta.
“Kalau berlaku kecemasan seperti serangan jantung atau kemalangan, jarak ke hospital sangat penting kerana kelewatan boleh menjejaskan peluang menyelamatkan nyawa.
“Saya juga percaya hospital baharu ini dapat mengurangkan kesesakan di HTJ kerana pesakit akan mempunyai lebih banyak pilihan untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Ahli farmasi, Koo Oi Sen, 50, berharap Hospital Bandar Enstek dilengkapi pelbagai perkhidmatan pakar supaya penduduk tidak perlu pergi jauh untuk mendapatkan rawatan.
Beliau berkata kemudahan itu juga dapat memenuhi permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan awam yang semakin meningkat.
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad mengumumkan pembinaan hospital pakar di tapak seluas 20.23 hektar di Bandar Baru Enstek yang dijangka siap serta mula beroperasi pada 2032.
Hospital itu akan mempunyai kapasiti awal 350 katil sebelum ditingkatkan secara berperingkat kepada 500 katil.
Projek berkenaan dijangka memanfaatkan lebih 700,000 penduduk di Seremban, Nilai, Labu, Lenggeng, Seremban 2, Sendayan dan kawasan sekitarnya.
Ia juga dapat membantu mengurangkan tekanan terhadap HTJ yang kini menjadi hospital rujukan utama Negeri Sembilan.
Hospital Bandar Enstek diumumkan selepas Kementerian Kesihatan menyemak semula cadangan pembinaan Hospital Tuanku Ja’afar 2 di Rasah.
Ini memandangkan Bandar Enstek lebih sesuai untuk memenuhi keperluan penduduk di koridor utara Seremban yang berkembang pesat. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.