Pemansuhan Auku hanya bermakna jika budaya yang melahirkannya turut dimansuhkan.

Saya mengambil masa hampir tujuh tahun (atau termasuk asasi dua tahun, sembilan tahun setepatnya) untuk menamatkan pengajian ijazah sarjana muda di Universiti Malaya. Ramai menyangka tempoh itu berpunca daripada penglibatan aktif saya dalam politik kampus. Namun, saya harus jujur: punca utamanya ialah minat yang terlalu mendalam terhadap politik organisasi sehingga saya mengabaikan pelajaran.
Sembilan tahun derita tersebut, saya ada pengalaman yang menarik untuk dikongsi. Sepanjang berada di kampus, tiga kali saya diberi surat tunjuk sebab dan dua kali saya berdepan tindakan tatatertib di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku).
Kali pertama dipanggil ke mahkamah universiti, ketika itu saya berada di tahun kedua pengajian. Ketika itu tersebar ura-ura bahawa pihak pentadbiran universiti mahu mengenakan kuota penggunaan wi-fi kepada mahasiswa. Bagi kami, cadangan tersebut tidak masuk akal. Internet bukan bentuk kemewahan. Ia ialah keperluan asas mahasiswa; untuk belajar, mencari pendapatan sampingan, berhibur dan menjalani kehidupan dalam dunia yang semakin bergantung pada teknologi.
Kami berenam dari tiga organisasi promahasiswa mengadakan sidang media untuk membantah cadangan itu. Akibatnya, kami dipanggil menghadapi prosiding tatatertib dan dikenakan denda. Kes tersebut tidak mendapat liputan luas kerana isunya dianggap setempat. Namun begitu, pentadbiran universiti juga akhirnya tidak meneruskan cadangan berkenaan selepas menerima bantahan tersebut.
Namun, pengalaman kedua jauh lebih mencengkam.
Saya bersama tiga orang rakan-rakan persatuan, dengan bantuan beberapa gerakan masyarakat sivil dan sokongan parti politik pembangkang menyertai sebuah protes di Dataran Merdeka. Menurut media, antara 1,500 hingga 3,000 orang hadir.
Seperti yang dijangka, kami kemudiannya didakwa kerana kononnya memalukan nama universiti. Ironinya, perkara yang kami bantah itu beberapa tahun kemudian terbukti menjadi antara skandal kewangan terbesar di dunia. Skandal 1MDB. Tetapi ketika itu, institusi pendidikan kami tidak berminat untuk bertanya sama ada suara mahasiswa membawa kebenaran. Yang lebih penting bagi mereka ialah memastikan mahasiswa belajar untuk diam.
Bahkan, penerangan kerajaan digerakkan ke dalam universiti-universiti. Jasa (seperti JKOM) menjadi instrumen kerajaan untuk menerangkan (baca: menyucikan) skandal yang dilakukan pemimpin negara waktu itu. Saya masih ingat teman saya, Daniel Mizan Qayyum bersama rakan rakan PMIUM, Demokrat dan Umany membalas hujah mereka dalam sesi penerangan tersebut yang dihadiri juga oleh TNC HEP pada waktu itu, Rohana yang kami sayangi.
Perkara yang paling mengganggu saya bukanlah kerana dipanggil universiti atau dikenakan pertuduhan yang tidak munasabah. Yang paling menghiris ialah apabila pegawai yang mengendalikan prosiding tiba-tiba mahu menukar pertuduhan terhadap saya. Pada sangkaan saya, pertuduhan asal tidak cukup kuat untuk membolehkan hukuman penggantungan dikenakan.
Saya membantah. Rakan yang mewakili saya sebagai pembela turut membantah. Beberapa pensyarah yang masih setia kepada kebenaran juga berdiri bersama kami.
Bayangkan sebuah ‘mahkamah’ universiti yang sepatutnya menilai kesalahan mahasiswa secara adil, tetapi bertukar menjadi ruang mencari alasan untuk menghukum. Pertuduhan boleh disesuaikan, seolah-olah keputusan telah tersedia lebih awal dan proses hanya perlu mencari jalan untuk menghalalkannya.
Di situlah masalah sebenar Auku. Sifatnya yang mengekang. Auku bukan sekadar susunan seksyen dan peraturan. Ia telah membentuk suatu budaya kekuasaan, budaya yang melihat mahasiswa kritis sebagai ancaman bukan sebagai warga muda yang sedang belajar memahami masyarakat. Ia mengajar pentadbir bahawa ketenteraman lebih penting daripada kebenaran, manakala kepatuhan lebih berharga daripada keberanian.
Sebab itu apabila perdana menteri mengumumkan hasrat memansuhkan Auku, saya teruja tetapi juga gusar.
Saya gusar kerana pemansuhan itu akan menggugat ekosistem politik yang telah lama dibina di kampus. Apabila mahasiswa bebas berfikir, bersuara dan berorganisasi, parti-parti yang bergantung pada kawalan pentadbiran akan kehilangan kelebihan. Kebebasan mahasiswa bukan ancaman kepada universiti, tetapi ia mungkin menjadi ancaman kepada mereka yang hanya boleh bertahan apabila mahasiswa dibisukan.
Kegusaran itu ternyata berasas. Sehari selepas pengumuman tersebut, ura-ura ada wakil mahasiswa dipanggil menghadiri pertemuan dengan pegawai politik seorang menteri. Arahannya, menurut apa yang sampai kepada kami, jelas: HALANG PEMANSUHAN TERSEBUT.
Mujurlah masih ada mahasiswa yang berfikiran jernih dan menyedari betapa dangkalnya tuntutan itu yang berkongsi maklumat dan bukti tersebut.
Tidak lama kemudian, pelbagai naratif mula bertebaran. Kononnya tanpa Auku ‘mahasiswa akan bebas tanpa batas dan universiti akan menjadi kacau-bilau’. Ada pula yang mendakwa ‘urusan pentadbiran, termasuk pembayaran gaji, akan terganggu’.
Menjelang Perhimpunan Agung Umno 2026, sebuah konvensyen pendidikan anjuran parti itu mengulang nada yang hampir sama. Malah muncul sindiran, oleh sebab ‘kolej universiti’ sudah tiada, maka Auku hanya perlu ditukar menjadi ‘AU’. Ucapan itu disambut dengan gelak tawa.
Tetapi di sebalik jenaka itu tersembunyi suatu sikap politik yang serius: mereka mungkin bersedia menukar nama akta, tetapi belum tentu bersedia melepaskan kuasa yang terkandung di dalamnya.
Sebab itulah saya tidak yakin akan benar-benar jujur dalam soal pemansuhan Auku. Pada bacaan saya, mereka mungkin bersetuju menanggalkan kulit lama, lalu membungkus taring yang sama dalam sebuah akta baharu.
Jangan biarkan Auku dilahirkan semula
Pemansuhan Auku tidak boleh dinilai berdasarkan nama akta. Auku bukan tentang nama. Auku itu sebuah akta bertulis yang memberikan kuasa kepada pihak/individu di dalam pentadbiran universiti secara absah yang mana selepas di nilai, ada kuasa yang sangat melampau batasannya. Pertama, kuasa seorang Menteri melantik pentadbir di dalam universiti. Kedua, bagaimana dengan pelantikan itu, kuasa di sub kepada bahagian tertentu yang mana kawalannya sangat tidak masuk akal. Kita perlu perbahasan panjang tentang perkara ini.
Jadi, apa yang kita boleh buat dalam masa terdekat?
Pertama, penggubalan undang-undang baharu mesti melibatkan semua pemegeang taruh sebenar secara bermakna. Bukan sekadar menjemput mereka ke satu sesi taklimat selepas keputusan dibuat, tetapi memberi mereka ruang menyemak, membantah dan mencadangkan setiap peruntukan yang menyentuh kebebasan mereka.
Kedua, kesalahan tatatertib mesti ditakrifkan dengan jelas. Frasa kabur seperti ‘memalukan nama universiti’, ‘merosakkan keharmonian’ atau ‘menjejaskan kepentingan institusi’ mudah digunakan sebagai senjata terhadap mahasiswa yang mengkritik kerajaan dan pentadbiran.
Ketiga, badan yang mendengar kes tatatertib mesti bebas daripada pihak yang membuat aduan atau mempunyai kepentingan dalam keputusan. Tiada keadilan jika pentadbiran menjadi pengadu, pendakwa, hakim dan pelaksana hukuman pada masa yang sama.
Keempat, mahasiswa mesti mempunyai hak kepada pembelaan, bukti, pendengaran terbuka dan rayuan kepada badan bebas. Pertuduhan juga tidak boleh ditukar sesuka hati ketika prosiding sedang berlangsung hanya untuk memastikan seseorang dapat dihukum.
Akhir sekali, gazetkan arahan yang telah dikeluarkan oleh perdana menteri untuk segala tatatertib yang ada dibekukan supaya tidak ada lagi universiti yang boleh menggunakan kaedah tersebut untuk menakut-nakutkan mahasiswa dan masyarakat universiti yang lain.
Universiti yang aman bukanlah universiti yang sunyi. Sunyi mungkin tanda tertib, tetapi ia juga boleh menjadi tanda ketakutan.
Universiti yang hidup ialah universiti yang membenarkan perbezaan pendapat, termasuk pendapat yang menggugat keselesaan orang berkuasa. Jika mahasiswa hanya dibenarkan bercakap apabila suara mereka selari dengan kerajaan, itu bukan pendidikan. Itu latihan kepatuhan.
Pemansuhan Auku hanya bermakna jika budaya yang melahirkannya turut dimansuhkan. Jika tidak, kita sekadar menukar papan tanda di hadapan penjara -sedangkan pintu, jeriji dan pengawalnya masih sama. - FMT
Penulis ialah bekas aktivis mahasiswa.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.