Friday, September 18, 2026

Penyatuan ummah: Bila niat sudah berbeza

 Apabila niat sudah berbeza penyatuan menjadi jauh lebih sukar.

Penyatuan Ummah pada asalnya membawa satu gagasan besar — menyatukan semua entiti Melayu-Islam dalam satu barisan politik. Tetapi apabila gagasan itu masuk ke dalam realiti pilihan raya, ia akhirnya lebih banyak diterjemahkan kepada usaha menyatukan Umno dan PAS.

Di sinilah masalahnya bermula. Kerana apabila hanya dua parti duduk di meja rundingan, persoalannya bukan lagi sekadar bagaimana hendak bersatu, tetapi untuk apa kita hendak bersatu? Perbezaan jawapan terhadap persoalan itu boleh menghasilkan perbezaan yang besar dalam tindakan politik.

Lihat sahaja perkembangan mutakhir. Umno mencadangkan supaya PAS membubarkan salah satu DUN di bawah pentadbiran SG4 selepas PRN Melaka sebagai satu bentuk ujian keikhlasan PAS terhadap kerjasama politik.

Umno juga memberi isyarat bahawa rundingan bagi menghadapi pilihan raya lebih cenderung dilakukan secara terus dengan PAS, berbanding melalui kerangka PN.

Kemudian di Melaka, BN pula menetapkan bahawa 21 kerusi yang dimenanginya pada PRN lalu tidak akan dikompromi. Ab Rauf menyifatkan 21 kerusi itu sebagai ‘garisan sempadan perbincangan’.

Semua ini membawa kita kepada satu persoalan: Adakah semua pihak masih melihat penyatuan ummah dengan tujuan yang sama?

Pada pandangan saya, di sinilah punca sebenar konflik. Jika Umno melihat penyatuan ummah sebagai satu mekanisme untuk mengukuhkan semula kedudukan politik Umno selepas kekalahan dalam PRU14 dan PRU15, maka kepentingan Umno secara semula jadi akan menjadi sebahagian daripada formula penyatuan. Mereka tidak melihat ‘ummah’, sebaliknya melihat ‘parti’.

Tetapi jika PAS dan entiti lain melihat penyatuan ummah sebagai usaha menggabungkan kekuatan politik Melayu-Islam yang lebih besar demi agenda agama, bangsa dan negara, maka ukuran penyatuan itu menjadi lebih luas daripada kepentingan satu parti.

Maka, perkara sama boleh dilihat melalui dua perspektif yang berbeza. Bagi satu pihak, penyatuan ialah cara untuk mengembalikan kekuatan parti.

Bagi pihak lain, parti pula perlu mengorbankan sebahagian kekuatannya untuk membina penyatuan yang lebih besar.

Di sinilah rundingan yang sepatutnya lurus, menjadi bengkang-bengkok. Sebab itu saya melihat isu ‘abang besar’ bukan sebagai punca tunggal, tetapi sebagai salah satu manifestasi daripada perbezaan perspektif tersebut.

Umno mempunyai sejarah, pengalaman dan kedudukan politik yang panjang. Tetapi realiti politik hari ini sudah berubah. Jika Umno Melaka mengambil sikap tidak mahu berkompromi dengan 21 kerusinya, maka kerangka yang sama patut kita lihat dalam kedudukan Parlimen.

Realiti hari ini menunjukkan Umno dan BN mempunyai 30 kerusi, manakala PAS mempunyai 43 dan Wawasan 19 — keseluruhannya 62 kerusi. Jika dilihat dari kerangka Ab Rauf Yusoh, angka ini menunjukkan bahawa realiti kekuatan politik Umno tidak lagi sama seperti dahulu.

Justeru, apabila satu pihak masih berfikir dalam kerangka lama — parti, sementara pihak lain melihat realiti baharu — ummah, maka konflik tidak boleh dielakkan.

Jika penyatuan ummah mahu dijadikan projek politik yang lebih besar daripada mana-mana parti, maka kepentingan parti perlu diletakkan dalam kerangka tersebut.

Dan yang paling penting, setiap pihak perlu bersedia menerima bahawa mereka bukan lagi satu-satunya pusat graviti politik Melayu-Islam.

PRN Melaka mungkin menjadi ujian pertama kepada persoalan ini. Bukan semata-mata tentang siapa bertanding di 21 kerusi. Tetapi tentang apakah makna sebenar penyatuan ummah apabila kepentingan parti bertembung dengan kepentingan ummah.

Sekiranya penyatuan ummah ini dilihat dari perspektif yang berbeza antara Umno dan PAS, maka ia menunjukkan bahawa niat sudah berbeza. Dan apabila niat sudah berbeza, penyatuan menjadi jauh lebih sukar.

Umno boleh terus kekal dengan pendiriannya. Mereka boleh memilih untuk ‘go solo’ atau bersama dengan PH. Cuma persoalannya, adakah pilihan tersebut akan menjamin kedudukan Umno, atau pilihan itu akhirnya akan memaksa ahlinya sendiri menolak Umno, sebagaimana mereka pernah menolak PH? - FMT

Penulis ialah narator politik Melayu.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.