Thursday, September 17, 2026

Kelat didakwa makin kurus, NRES digesa hantar veterinar ke Jepun

 Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam digesa hantar pasukan veterinar ke Jepun bagi memeriksa kesihatan gajah itu susulan dakwaan keadaan fizikal makin merosot.

Dara, Amoi dan Kelat
Tiga gajah Malaysia iaitu Dara, Amoi dan Kelat kini berada di Zoo Tennoji, Jepun. (Gambar MPT)
PETALING JAYA:
Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) digesa menghantar pasukan veterinar Malaysia ke Zoo Tennoji, Jepun dalam tempoh 14 hari bagi memeriksa kesihatan tiga gajah Malaysia, Dara, Amoi dan Kelat (DAK).

Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong, berkata pemeriksaan itu perlu dibuat susulan dakwaan keadaan fizikal Kelat semakin merosot sejak dipindahkan ke zoo berkenaan.

Katanya, pemeriksaan fizikal secara terus perlu dilakukan tanpa sekatan bagi menilai berat badan, keadaan tubuh, kulit, mata, kaki dan kuku Kelat.

“Selain itu, ujian darah lengkap, paras hormon kortisol untuk tahap tekanan dan ujian parasit juga perlu dibuat.

“Ini akan menjawab sama ada ‘musth’ (turun minyak) yang didakwa itu adalah ‘musth’ sebenar atau simptom penyakit dan stres kronik,” katanya dalam kenyataan.

Media sebelum ini melaporkan Kelat didakwa beberapa kali diasingkan atas alasan mengalami musth.

Bagaimanapun, aktivis Noraini Abd Khalil Saferi berkata gajah jantan Asia yang sihat lazimnya mengalami fasa musth secara berkala, bukannya berulang kali dalam tempoh singkat.

Neow yang juga pengarah komunikasi Pemuda Barisan Nasional (BN) berkata, kebajikan DAK turut perlu dinilai, termasuk saiz tempat kurungan, kesesuaian lantai, diet harian dan tempoh pengasingan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan perlu didedahkan kepada umum termasuk laporan, video dan keputusan makmal, selain dinilai pakar gajah bebas antarabangsa.

“Jika pemeriksaan membuktikan berlaku kemerosotan kesihatan atau pengabaian kebajikan, katanya, NRES perlu mengaktifkan proses membawa pulang DAK ke habitat asal seperti dinyatakan sebelum ini.

“NRES mesti tunaikan janjinya seperti yang dinyatakan pada 29 April lalu iaitu aktifkan segera proses membawa pulang DAK ke habitat asal,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.