Wednesday, September 9, 2026

Kuota Bumiputera masih perlu tapi mesti bersasar, kata ahli akademik

 Kuota masih relevan untuk merapatkan jurang tetapi pelaksanaan perlu lebih bersasar supaya manfaat sampai kepada golongan benar-benar memerlukan.

Youth-young belia-people-group-IPTA IPTS KOLEJ PELAJAR student college
Ahli akademik berkata sistem kuota kemasukan ke universiti perlu ditambah baik supaya benar-benar membantu golongan memerlukan.
PETALING JAYA:
Kuota kemasukan ke institusi pendidikan tinggi bagi Melayu dan Bumiputera masih diperlukan untuk merapatkan jurang sosioekonomi dan pendidikan, namun pelaksanaannya perlu lebih bersasar.
Anuar Ahmad.

Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (Minda) Universiti Kebangsaan Malaysia, Anuar Ahmad, berkata sistem kuota perlu ditambah baik supaya benar-benar membantu golongan memerlukan.

“Kuota buat masa ini masih diperlukan. Cuma kuota perlu bersasar, lebih terancang dan disediakan untuk tujuan merapatkan jurang dalam masyarakat.

“Untuk jangka panjang, perubahan daripada kuota kepada keupayaan memerlukan perancangan yang jelas dan strategik serta dilaksanakan secara berperingkat supaya minda masyarakat sudah bersedia,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abdul Kadir, survival pendidikan Melayu dan Bumiputera tidak seharusnya terus bergantung kepada kuota, sebaliknya perlu beralih kepada pembinaan keupayaan.

Zambry berkata, kejayaan pendidikan tidak lagi boleh diukur berdasarkan jumlah anak Melayu dan Bumiputera yang memasuki universiti semata-mata, tetapi kemampuan mereka menguasai pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), mencipta teknologi, memiliki harta intelek serta membina syarikat bertaraf global.

Suhaiza Hanim Mohamad Zailani
Suhaiza Hanim Mohamad Zailani.

Sementara itu, Pengarah Pusat Kajian Pembangunan Ungku Aziz Universiti Malaya, Suhaiza Hanim Mohamad Zailani, berkata meritokrasi penting namun latar belakang keluarga juga perlu diambil kira.

Katanya, meritokrasi sepenuhnya boleh menyukarkan pelajar B40 dan M40 yang tidak mempunyai akses sama kepada kelas tambahan atau tuisyen.

“Kalau kita boleh berikan sedikit fleksibiliti dalam meritokrasi, masih perlu ada peratusan tertentu yang mengambil kira latar belakang keluarga.

“Kita juga perlu ada peratusan tertentu yang melihat kepada profil dan latar belakang keluarga mereka,” katanya.

Menurutnya, universiti perlu kekal sebagai ruang pendidikan inklusif kerana pengurangan kuota tanpa menangani jurang pendidikan di sekolah boleh menyebabkan golongan berpendapatan rendah semakin tercicir.

Katanya, ada pelajar B40 yang berkemampuan dari segi akademik tetapi terpaksa bekerja selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau membantu keluarga kerana kekangan kewangan, sekali gus menjejaskan peluang mereka melanjutkan pengajian.

Mohd Azizuddin Mohd Sani.

Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Mohd Azizuddin Mohd Sani, pula berkata sistem pendidikan negara kini semakin menekankan merit berbanding kuota.

Namun, katanya, tumpuan perlu beralih daripada sekadar memastikan akses ke universiti kepada usaha menyediakan pendidikan berkualiti dan melahirkan bakat terbaik.

“Kita mahu melahirkan ‘the best talent’ yang ada. Jadi, anak Melayu dan Bumiputera juga harus menjadi yang terbaik serta mampu menjadi pencipta ilmu, pemilik teknologi dan peneraju ekonomi,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.