Kajian Suara Wanita 2025/2026 mendapati kos sara hidup merupakan isu yang paling memberi kesan secara peribadi kepada wanita.

Menurut dapatan Kajian Suara Wanita 2025/2026, seramai 45.8% responden berpandangan halangan yang paling kerap dikenal pasti untuk wanita terlibat dalam politik bukanlah soal keupayaan, tetapi masa dan tanggungjawab yang perlu diperuntukkan untuk menjaga anak-anak dan keluarga.
Kajian diterbitkan Suluh Centre itu juga mendapati budaya politik yang keras dan didominasi lelaki serta kekurangan akses kepada maklumat dan sokongan awal juga antara penghalang wanita terlibat dalam politik.
Apabila ditanya mengenai kepimpinan politik wanita, 55.2% responden berkata wanita memerlukan lebih banyak peluang untuk membuktikan keupayaan mereka manakala 31.2% berpandangan bahawa wanita mempunyai keupayaan yang setara dengan pemimpin lelaki.
Hanya 17.1% merasakan tahap perwakilan wanita di Parlimen dan DUN ketika ini mencukupi, berbanding 62.7% yang berpandangan wanita masih kurang diwakili dan 19.8% yang tidak pasti.

Wanita kini memegang 30 daripada 221 kerusi yang terisi di Dewan Rakyat, bersamaan 13.6%, iaitu kira-kira separuh daripada purata global.
Pengarah Eksekutif Suluh Centre yang juga penulis utama laporan, Nadia Nazri berkata tanggungjawab penjagaan yang menyebabkan wanita berada di luar tenaga buruh juga boleh mengehadkan penyertaan mereka dalam kepimpinan komuniti dan politik.
“Sebab itu penjagaan kanak-kanak dan warga emas perlu dilihat sebagai sebahagian daripada infrastruktur ekonomi negara, bukan semata-mata urusan keluarga,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya kajian itu lagi, kos sara hidup merupakan isu yang paling memberi kesan secara peribadi kepada responden, dengan 54.2% memilihnya sebagai kebimbangan utama — lebih dua kali ganda berbanding peluang pekerjaan dan gaji (25.1%), hampir tiga kali ganda berbanding hutang isi rumah serta komitmen kewangan (18.8%).
Laporan itu mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan, parti politik dan agensi awam antaranya ialah supaya cadangan minimum 30% calon wanita yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen pada Jun lalu diperundangkan dengan garis masa pelaksanaan yang jelas.
Ia juga mencadangkan semakan perlindungan untuk mangsa keganasan rumah tangga, cuti penjagaan anak berbayar selama enam hari, program rintis pemformalan pengasuh dan memperluas akses kepada penjagaan kanak-kanak.
Laporan tersebut dilancarkan isteri perdana menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail di Kompleks Sukan Bandar Tun Razak selepas majlis graduasi lebih 300 wanita yang menamatkan program Wanita Mendunia, program kepimpinan selama setahun anjuran Suluh Centre.
Turut hadir Pengerusi Suluh Centre, Nurul Izzah Anwar.
Kajian yang diterbitkan oleh Suluh Centre yang dahulunya dikenali sebagai POLITY mengumpulkan respons daripada 1,030 wanita di seluruh Malaysia antara Disember 2025 hingga Jun 2026.
Dapatan kajian turut diperkukuh melalui sesi perbincangan kumpulan fokus dan libat urus komuniti yang melibatkan 270 wanita lagi di seluruh negara. - FMT
Laporan penuh kajian boleh didapati di https://suluhcentre.com/research/
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.