Wednesday, September 9, 2026

Mahkamah Rayuan ketepi ganti rugi RM50,000 kes saman fitnah Guan Eng

 

Panel tiga hakim sebulat suara benar rayuan Zuraida Kamaruddin, editor MalaysiaNow dan MNow Media Sdn Bhd.

guan zur
Lim Guan Eng dakwa Zuraida Kamaruddin buat kenyataan palsu mengenai dirinya berkaitan projek perumahan untuk bekas pekerja ladang di Bestari Jaya, Selangor.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan hari ini mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan bekas menteri perumahan dan kerajaan tempatan Zuraida Kamaruddin serta dua lagi untuk membayar ganti rugi RM50,000 kepada Lim Guan Eng kerana memfitnah penasihat DAP itu.

Panel tiga hakim terdiri daripada Mohd Firuz Jaffril, Ahmad Kamal Md Shahid dan Amarjeet Singh membuat keputusan itu secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan Zuraida, editor MalaysiaNow Muhammad Abd Ar-Rahman Koya serta MNow Media Sdn Bhd.

Mereka juga menolak rayuan balas Lim untuk menaikkan jumlah ganti rugi, serta memerintahkan beliau membayar kos RM30,000.

Ketika menyampaikan keputusan itu, Mohd Firuz berkata, artikel yang dipertikai tidak menimbulkan maksud tersirat seperti yang didakwa oleh Lim.

“Kami mendapati terdapat kekhilafan yang jelas dalam penghakiman Mahkamah Tinggi dan sehubungan dengan itu, keputusan tersebut tidak boleh dikekalkan,” katanya menambah, cara Mahkamah Tinggi menangani pembelaan dalam kes itu amat tidak memuaskan.

Beliau berkata, analisis akhir mahkamah menunjukkan bahawa penilaian Mahkamah Tinggi terhadap pembelaan justifikasi adalah bersandarkan kepada dokumen semata-mata, bukannya berdasarkan apa yang berlaku antara kedua-dua menteri ketika mereka bertemu pada waktu itu.

Mohd Firuz juga berkata, terdapat dapatan yang tidak konsisten apabila dalam satu bahagian, hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa wujud niat jahat namun di bahagian lain pula mendapati tiada bukti mengenai niat jahat.

Pada 7 Jun 2024, Lim memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan menamakan Zuraida, Muhammad Abd Ar-Rahman Koya dan MNow Media sebagai defendan.

Menerusi pernyataan tuntutan, bekas menteri kewangan itu mendakwa Zuraida telah membuat kenyataan palsu mengenai dirinya berkaitan projek perumahan untuk bekas pekerja ladang di Bestari Jaya, Selangor.

Pada Mac lepas, Mahkamah Tinggi membuat keputusan memihak kepada Lim dan memutuskan bahawa kenyataan yang dipertikai adalah berunsur fitnah serta memberikan ganti rugi sebanyak RM50,000 kepada bekas ketua menteri Pulau Pinang itu.

Ketiga-tiga defendan merayu keputusan itu manakala Lim mengemukakan rayuan terhadap jumlah ganti rugi yang ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi.

Terdahulu, peguam SN Nair yang mewakili Lim berhujah, ganti rugi RM50,000 yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi adalah tidak mencukupi dan berdasarkan perkembangan terkini dalam kes undang-undang, jumlah yang sepatutnya diberikan ialah RM250,000.

Peguam Nizamuddin Abdul Hamid, yang mewakili ketiga-tiga defendan, pula berhujah, kenyataan yang dibuat oleh Zuraida dan kemudiannya diterbitkan oleh MNow Media bukan berunsur fitnah, selain menggesa Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi.

Dalam pada itu, Nair memaklumkan media, beliau akan mendapatkan arahan daripada Lim sama ada akan membawa perkara tersebut ke Mahkamah Persekutuan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.