Presiden Bersatu berkata, parti itu perlu cari rakan kerjasama baharu, namun mesti hormati prinsip dan selari dalam perjuangan.

Beliau berkata, ramai menzahirkan pandangan bahawa Bersatu tidak boleh bergerak sendiri dan perlu rakan kerjasama baharu susulan krisis dalam Perikatan Nasional (PN) menyaksikannya putus hubungan dengan PAS.
Sehubungan itu, katanya, Bersatu akan membuat keputusan demi kelangsungan parti tetapi memberi jaminan kepada ahli yang ia mesti berlandaskan prinsip perjuangan.
“Mereka mesti menghormati perjuangan Bersatu, menghargai sumbangannya serta mempunyai prinsip dan cita-cita perjuangan yang selari,” katanya pada Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-10 Bersatu di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam ini.
Beliau menekankan prinsip utama Bersatu yang perlu diterima rakan kerjasama adalah untuk mewujudkan negara yang maju, makmur dan bebas daripada amalan kleptokrasi.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Bersatu sudah mengadakan perbincangan awal dengan Muda bagi merintis kerjasama pilihan raya, selain Putra turut memberi isyarat secara prinsipnya bahawa mereka terbuka untuk bekerjasama.
Krisis dalam PN menyebabkan PAS tidak membantu kempen Bersatu pada PRN Johor, manakala di Negeri Sembilan, Bersatu bertanding menggunakan logo sendiri dalam pada PN menjalinkan persefahaman dengan Barisan Nasional (BN).
Pada kedua-dua PRN, Bersatu kalah di semua kerusi ditandingi.- FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.