Sunday, October 4, 2026

Anjing menyalak di telaga kering: Kedegilan pihak yang terbuang

 Pihak telah kehilangan kedudukan dalam struktur adat perlu menerima hakikat dan menghormati institusi Yang Dipertuan Besar serta proses Adat Perpatih.

Istana Seri Menanti
(Wikimedia Commons pic)

Bagi Anak Negeri yang hidup dan membesar dengan semangat sebenar Adat Perpatih, sudah-sudahlah.

Kita sedang menyaksikan satu tontonan yang amat memalukan: sekumpulan bekas ketua luak—yang telah hilang kedudukan, disisihkan oleh luak dan anak waris sendiri, serta disingkirkan oleh saluran adat yang sah—tetap enggan menerima hakikat.

Laksana anjing menyalak di telaga kering, punca kuasa mereka sudah lama kering kontang, namun mereka masih meratib penuh kedegilan dan meroyan kosong ke udara.

Mari kita berterus-terang. Golongan ini bukan sekadar tersesat jalan; bahkan amat tebal muka tanpa sedikit pun segan silu.

Disingkirkan oleh anak waris dan luak sendiri, mereka masih selamba mengeluarkan kenyataan seolah-olah undang-undang adat Negeri Sembilan ini boleh dibentuk mengikut kehendak nafsu ego mereka.

Dalam aksi terbaharu mereka yang mewarnai platform media, individu-individu ini melakukan perkara yang tidak masuk akal: cuba mencabar dan merendahkan Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Besar yang sedang bersemayam.

Ia adalah sandiwara terdesak oleh pihak yang angkuh mengira kononnya dengan melontarkan kenyataan media bertalu-talu dan dokumen berjela-jela, mereka akan jadi lebih berkuasa daripada yang sepatutnya.

Tindakan mereka ini adalah penghinaan terang-terangan bukan sahaja kepada kesucian institusi Yang di-Pertuan Besar, malah kepada asas sebenar Adat Perpatih itu sendiri.

Angkara badut-badut ini, mereka yang tidak memahami Adat Perpatih mula memandang serong warisan kita seolah-olah adat membolehkan Raja Melayu itu dibuli dan dihina sesuka hati.

Ini adalah ibarat meludah ke langit terhadap tradisi berabad-abad di mana Adat berdiri sebagai tiang maruah, ketertiban, dan ketaatan mutlak kepada takhta.

Sebaliknya, berdiri teguh di pihak yang benar adalah suara adat dan pentadbiran yang sah.

Dewan Keadilan dan Undang (DKU)—majlis adat tertinggi negeri yang mempunyai kuasa mutlak di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan—bersama pihak berkuasa undang-undang yang sah, telah berulang kali dan sebulat suara menegaskan bahawa Raja Melayu yang sedang bertakhta kekal sebagai Yang Dipertuan Besar yang sah, diiktiraf, dan dilindungi oleh perlembagaan.

Ketika kelompok terbuang ini meroyan dengan surat-surat dan sandiwara murahan, DKU berdiri bagaikan benteng besi yang mempertahankan kesucian takhta dan kesinambungan pentadbiran kita.

Cuba kita cerminkan betapa peliknya logik akal mereka dengan melihat bagaimana masyarakat menguruskan hukum dan peraturan asas.

Bayangkan senario di mana seorang individu wanita berkahwin buat kali kedua sedangkan perkahwinan pertama masih sah dan terikat di sisi undang-undang.

Kemudian, mereka tiba-tiba mendakwa perkahwinan pertama itu kononnya sudah terbatal hanya kerana ia tidak mengikut selera peribadi mereka.

Akal yang sihat menuntut kita memastikan status perkahwinan pertama yang sah untuk dihormati sebelum sebarang ikatan lain boleh dipertimbangkan untuk dimeterai.

Anda tidak boleh sesuka hati melangkaui proses undang-undang dan adat, pusing cerita ke belakang sesuka hati, dan kemudian berlagak mengajar orang lain tentang Adat Perpatih.

Lagi pula, apa pula alasan mereka selepas itu? Kononnya status perkahwinan pertama itu telah “ditelan zaman dan disifatkan selesai oleh peristiwa semasa” (overtaken by event)?

Mari kita perjelaskan: perkahwinan kedua, walau sehebat mana pun pihak yang cuba mengusahakannya, tetap haram dan melanggar undang-undang selagi perkahwinan pertama itu masih wujud kukuh.

Helah anda tentang “sudah disifatkan selesai oleh peristiwa” (overtaken by event) tidak laku sama sekali di sini!

Namun, bekas-bekas ketua luak dan penyamar takhta ini masih dengan ketebalan muka yang luar biasa melipatgandakan usaha tidak bertamadun ini dengan mengeluarkan kenyataan berjela-jela serta menghantar surat terdesak kepada media dan Peguam Negara.

Kedegilan mereka cuba mewajarkan rampasan kuasa songsang ini dilakukan dengan memutarbelitkan perjanjian purba seperti Perjanjian 1898 dan mendakwa kononnya mereka dipinggirkan dalam urusan negeri.

Ini adalah usaha terdesak untuk memperalatkan sejarah demi kepentingan peribadi, memutarbelitkan dokumen silam semata-mata mahu menutup ketidakrelevanan mereka hari ini serta mengkhianati amanah suci yang pernah diletakkan di bahu mereka.

Jika mahu diungkit perjanjian purba sesuka hati untuk mengubah kuasa, kenapa hendak berhenti di situ?

Mari kita ungkit sejarah seluas-luasnya hingga ke Perang Naning dan autonomi wilayah masa lalu—jika mengikut logik songsang itu, mungkin penduduk Naning pula berhak menuntut keluar sepenuhnya atau menuntut kedaulatan mutlak daripada Melaka dan Malaysia ke atas tanah wilayah mereka sendiri?

Bukankah betapa tidak masuk akal permainan ini apabila semua orang mula memilih mana-mana sejarah purba demi memuaskan nafsu kuasa peribadi?

Lebih parah lagi, tindakan individu yang menyamar sebagai Raja dengan selamba melayangkan surat rasmi kepada Peguam Negara sebagai cubaan mengesahkan status haram yang dicetuskannya sendiri bukan sekadar sandiwara—ia adalah cabaran langsung dan terang-terangan terhadap undang-undang tertinggi negara.

Perbuatan penyamar takhta ini merupakan kesalahan penderhakaan yang jelas dan nyata di bawah Perlembagaan Persekutuan, melintasi garisan merah merobohkan institusi diraja dan ketenteraman awam.

Ramai di antara kita juga tidak menyangka bahawa entiti politik tertentu sanggup merendahkan maruah sejauh ini dalam gerakan derhaka terang-terangan terhadap Yang di-Pertuan Besar yang sedang bersemayam.

Mempermainkan kesucian institusi diraja demi kepentingan politik kepartian adalah satu pengkhianatan kepada orang Melayu dan negeri ini yang tidak dapat dimaafkan sama sekali.

Justeru, pihak penguat kuasa undang-undang Persekutuan dan negeri mesti bertindak tegas tanpa kompromi untuk menamatkan pertunjukan sirkus ini, sekali dan selamanya dengan menguatkuasakan Perlembagaan Persekutuan serta hukuman seberat-beratnya di bawah Kanun Keseksaan.

Tiada ruang untuk memberi muka atau berlembut apabila kedaulatan Raja-Raja Melayu dan keamanan negara digugat oleh dalang penyamar dan pak turut politik.

Tambahan pula, media sosial tidak boleh dibiarkan menjadi sarang pembiakan hasutan derhaka.

Kecuali pihak berkuasa mengambil tindakan keras terhadap mereka yang memberikan komen beracun dan menghina institusi diraja serta perlembagaan kita di alam maya, perbuatan biadab ini akan diraikan sebagai satu kebiasaan.

Adat Perpatih mengajar kita “biar mati anak, jangan mati adat”. Tetapi adat didukung oleh undang-undang, ketertiban, dan rasa hormat.

Tutup telaga kering itu, diamkan salakan sumbang itu, dan biarkan undang-undang berat menimpa mereka yang cuba merobohkan warisan kita demi tamak haloba peribadi.

Hormati takhta, junjung adat, dan biarkan undang-undang mengambil tempatnya. - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.