Sunday, October 4, 2026

Kecurian kabel punca MRT Laluan Putrajaya lewat

 Gangguan dikesan pada 5.24 pagi apabila sebuah tren tidak dapat bergerak di Stesen Taman Equine.

Pasukan teknikal menjalankan pemeriksaan rapic kl
Pasukan teknikal menjalankan pemeriksaan dan kerja pembaikan bagi memulihkan bekalan kuasa serta perkhidmatan tren yang mengalami gangguan akibat kejadian kecurian kabel berhampiran Stesen Taman Equine. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya mengalami kelewatan susulan kehilangan bekalan kuasa akibat kejadian kecurian kabel berhampiran Stesen Taman Equine.

Rapid KL berkata gangguan itu mula dikesan pada 5.24 pagi apabila sebuah tren tidak dapat bergerak di Stesen Taman Equine.

Menurut Rapid KL, gangguan operasi itu menyebabkan penumpang dijangka menunggu lebih lama di platform, terutama di Stesen UPM, 16 Sierra dan Putrajaya Sentral.

“Rapid KL memandang serius kejadian kecurian kabel yang boleh menjejaskan kelancaran perkhidmatan serta keselamatan operasi.

“Kami akan terus memantau keadaan dan menyalurkan maklumat terkini mengenai status perkhidmatan dari semasa ke semasa menerusi laman media sosial Rapid KL dan aplikasi perjalanan MyRapid PULSE,” katanya dalam kenyataan.

Susulan kejadian itu, pasukan teknikal digerakkan untuk menjalankan pemeriksaan dan kerja pembaikan bagi memulihkan bekalan kuasa serta perkhidmatan tren.

Sementara kerja pemulihan dijalankan, tren dari Kwasa Damansara akan berpatah balik di UPM dengan kekerapan setiap 10 minit.

Tren dari UPM pula akan berpatah balik di 16 Sierra dengan kekerapan sama, manakala tren perantara dari 16 Sierra ke Putrajaya Sentral beroperasi setiap tujuh minit.

Rapid KL turut mengaktifkan perkhidmatan bas perantara ulang-alik percuma antara Serdang Jaya, UPM, Taman Equine, Putra Permai, 16 Sierra, Cyberjaya Utara, Cyberjaya City Centre dan Putrajaya Sentral.

Bas berkenaan dijangka beroperasi setiap 15 hingga 20 minit, bergantung kepada keadaan trafik semasa.

Sementara itu, penumpang yang menggunakan Laluan Putrajaya untuk meneruskan perjalanan ke Sepang menerusi perkhidmatan ERL di Putrajaya Sentral pula dinasihatkan memperuntukkan masa perjalanan lebih panjang.

“Sebagai alternatif, mereka disaran menggunakan laluan melalui Stesen ERL KL Sentral atau Stesen ERL Bandar Tasik Selatan,” kata Rapid KL. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.