Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU) menuduh Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’far, yang turut menuntut takhta negeri itu, melakukan penderhakaan dan kesalahan jenayah.
DKU turut mahu Undang yang kedudukan mereka dipertikaikan disiasat dan didakwa atas kesalahan menderhaka.
Gesaan itu menandakan tuntutan langsung campur tangan kerajaan persekutuan oleh pihak yang menyokong Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, yang kedudukannya sebagai pemerintah dicabar, selepas usaha serupa dilakukan kumpulan pesaing.
Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara mengeluarkan kenyataan yang menegaskan kedudukan Tuanku Muhriz dan menolak pelucutannya kerana proses itu cacat./file/attachments/orphans/undang423_276515.png)
Melalui kenyataan panjang pada Ahad, DKU, tanpa menamakan Tunku Nadzaruddin berkata tindakan menghantar surat kepada Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar dan Peguam Negara Dusuki Mokhtar pada 30 Sept merupakan penderhakaan.
Surat itu antara lain meminta mereka tidak mengiktiraf sebarang warta dan perintah yang dikeluarkan atas nama Tuanku Muhriz.
Perkara itu berkaitan perintah yang diwartakan bagi membatalkan pelantikan 10 anggota exco negeri, yang disingkirkan kerana tidak setia kepada pemerintah.
Dalam surat yang tersebar di media sosial itu, Tunku Nadzaruddin menggunakan gelaran Yang di-Pertuan Besar — kedudukan yang dipertikaikan DKU. Surat itu turut ditandatangani Undang yang kedudukan mereka dipertikaikan dan menyokong Tunku Nadzaruddin sebagai pemerintah.
/file/attachments/orphans/test111_964810.png)
Selain meminta keputusan Tuanku Muhriz diketepikan, surat itu turut menuntut Zafir Ibrahim disingkirkan sebagai setiausaha kerajaan negeri.
“Pada pandangan Dewan yang telah dipertimbangkan dengan teliti, pengeluaran Surat-surat tersebut adalah suatu perbuatan derhaka dan juga boleh membawa kepada satu kesalahan jenayah di bawah Kanun Keseksaan,” kata dewan itu dalam kenyataan yang ditandatangani setiausahanya, Raja Norazli Raja Nordin.
Sementara itu, DKU turut mempertikaikan kenyataan pada 2 Okt oleh kumpulan Undang Yang Empat yang diketuai Mubarak Thahak, yang kedudukannya sebagai Undang Sungei Ujong dipertikaikan.
Kenyataan itu menyenaraikan dakwaan pelanggaran yang dikatakan mewajarkan pelucutan Tuanku Muhriz sebagai pemerintah.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/01/799fed72888d99d374467e20541249f3.png)
Antara lain, dewan penasihat hal ehwal adat itu mempertikaikan dakwaan kumpulan berkenaan bahawa Tuanku Muhriz melanggar perjanjian 1898 antara institusi Undang Yang Empat dengan Yang di-Pertuan Besar kerana mencampuri urusan luak.
DKU berkata hujah kumpulan itu tidak sah kerana perjanjian 1898 tidak lagi berfungsi sebagai sumber kuasa yang berdiri sendiri. Menurutnya, perlembagaan negeri menetapkan undang-undang lama seperti itu hanya berkuat kuasa selagi tidak bercanggah dengan perlembagaan.
Antara peruntukan yang mengatasi perjanjian itu, katanya, ialah Perkara 16(1), yang secara khusus menetapkan DKU mesti memberikan nasihat mengenai perkara adat yang dirujuk kepadanya, termasuk “pemilihan atau pewarisan, atau pemberhentian daripada atau pengosongan jawatan” mana-mana Undang.
Dewan itu turut menolak dakwaan Tuanku Muhriz mencampuri pelantikan Undang Rembau dan Sungai Ujong, dengan menyatakan keputusan berkenaan dibuat oleh luak masing-masing.
/file/attachments/orphans/asdasdadseasd_610569.png)
Berhubung pertikaian pelantikan Abdul Rahim Yasin sebagai Undang Rembau, DKU berkata walaupun mengakui pelantikannya dalam mesyuarat pada 4 Julai 2025, dia diberitahu secara khusus bahawa kuasanya hanya terhad kepada luaknya.
Ini kerana ketika itu, dia belum menjalani istiadat pertabalan yang diperlukan untuk diiktiraf sebagai salah seorang Undang yang memerintah negeri itu.
Istiadat itu masih belum dilaksanakan ketika Abdul Rahim bersama Mubarak dan dua yang lain mengisytiharkan pelucutan Tuanku Muhriz pada April.
Sementara itu, DKU turut menolak hujah kumpulan Mubarak bahawa Perkara 10 perlembagaan negeri — yang memberikan Undang kuasa melucutkan pemerintah negeri — hanya memerlukan pertanyaan (enquiry), bukannya penyiasatan (inquiry).
DKU merujuk teks Jawi yang secara khusus menyatakan penyiasatan sepenuhnya mesti dijalankan.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/01/2a2eb799a223c48b545d20121fca4002.jpg)
Dewan itu berkata sesi “pertanyaan” yang diadakan Undang pada 5 Mac tidak boleh dianggap sebagai penyiasatan. Menurutnya, tiada minit, laporan atau dapatan mengenai mesyuarat pada hari itu dan Tuanku Muhriz juga tidak dimaklumkan bahawa dia sedang disiasat.
DKU mengakhiri kenyataannya dengan menyeru Putrajaya, pihak berkuasa persekutuan, semua kerajaan negeri serta penjawat awam dan penduduk Negeri Sembilan supaya mengabaikan surat yang dikeluarkan Tunku Nadzaruddin pada 30 Sept dan kenyataan kumpulan Mubarak pada 2 Okt.
Dewan itu kemudian menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan.
“Dewan juga dengan hormatnya memohon supaya pihak-pihak penguatkuasa terutamanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk menyiasat dan memulakan pendakwaan atas kesalahan-kesalahan jenayah yang telah mereka lakukan melalui tindakan-tindakan seperti yang telah dinyatakan di atas.
"Ini penting supaya mereka tidak secara terus mengambil tindakan-tindakan dan membuat kenyataan-kenyataan yang bertentangan dengan perlembagaan dan undang-undang yang akan mengelirukan pentadbiran negeri dan rakyat jelata,” katanya. - Mkini
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.