Perlumbaan semalam dibayangi situasi memalukan dan belum pernah berlaku apabila jentera baharu musim ini gagal berfungsi dengan baik di Litar Antarabangsa Sepang yang basah.

Max Verstappen mengharungi kekecohan itu untuk meraih kemenangan pertamanya tahun ini.
Kimi Antonelli di tempat kedua, manakala Hamilton melengkapkan kebangkitan cemerlang daripada kedudukan ke-18 untuk meraih tempat terakhir podium.
George Russell yang mendahului di tempat ketiga terpaksa menamatkan perlumbaan lebih awal akibat masalah enjin, sekali gus menyebabkan impiannya meraih kejuaraan dunia hampir terkubur.
Bagaimanapun, perlumbaan semalam dibayangi situasi memalukan dan belum pernah berlaku apabila jentera baharu musim ini, yang menerima kritikan hebat, gagal berfungsi dengan baik di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) yang basah.
Perlumbaan pada awalnya ditangguhkan 40 minit susulan hujan lebat.
Pengurusan F1 kemudian terpaksa membatalkan permulaan perlumbaan apabila beberapa pemandu, termasuk Verstappen dan Hamilton mengalami masalah teknikal ketika pusingan formasi yang dikaitkan dengan pembahagian kuasa 50-50 antara enjin pembakaran serta kuasa bateri menjadi kontroversi sehingga jentera mereka gagal berfungsi.
Verstappen yang bermula di petak utama menjadi pemandu pertama mengadu jenteranya tidak dapat memecut. Pergerakan perlahan kemudian memberi kesan kepada pemandu lain, dengan Hamilton di belakang Verstappen turut mengalami masalah pada jentera Ferrarinya.
“Saya menekan pedal minyak, tetapi tiada apa-apa berlaku,” kata Hamilton sebelum memberhentikan jenteranya di tepi litar.
Beberapa pemandu lain turut bergelut memastikan enjin mereka terus berfungsi dalam aksi kompetitif pertama di litar basah bagi generasi jentera berkenaan.
Verstappen, yang pernah mengancam meninggalkan sukan itu kerana tidak menyukai peraturan baharu, akhirnya berjaya meningkatkan kelajuan.
Beliau ketawa dan menggeleng kepala melihat beberapa jentera tersadai di tepi litar.
“Lihat ini,” katanya menerusi radio.
Semua jentera akhirnya kembali ke lorong pit dalam keadaan perlahan, dengan 53 minit berlalu sebelum pegawai perlumbaan memberi lampu hijau untuk memulakan perlumbaan semula.
Tiada penjelasan mengenai kelewatan panjang itu diberikan ketika kejadian, namun kemudian diketahui perisian baharu perlu dimuat turun ke jentera.
Dua pusingan dilakukan di belakang kereta keselamatan, sebelum perlumbaan dimulakan dari petak permulaan.
Verstappen menerima bendera penamat dengan kelebihan 2.3 saat di depan Antonelli.
“Enjin ini sangat rumit dan banyak perisian digunakan,” kata Verstappen mengulas kekecohan yang kembali meletakkan peraturan kontroversi sukan itu dalam perhatian.
“Saya yang mengalaminya terlebih dahulu, kemudian saya melihat cermin dan terfikir, ‘Tunggu, adakah mereka sedang menunggu saya?'”
Hamilton yang duduk bersebelahan Verstappen pada sidang media selepas perlumbaan berkata: “Ia seperti perlumbaan Lego (sebelum Grand Prix Britain).”
Verstappen berkata: “Apa yang boleh anda katakan? Ini bukan apa yang anda mahukan untuk sukan ini.”
Hamilton pula berkata: “Saya terpaksa berhenti di litar, mematikan jentera dan menghidupkannya semula. Saya tidak pernah melakukannya sebelum ini. Saya harap ada pengajaran dapat diambil.”
Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dalam kenyataan semalam memaklumkan: “Ketika pusingan formasi, gabungan luar biasa antara kelajuan enjin rendah, keadaan cengkaman rendah, tetapan pengurusan tenaga ketika cuaca basah dan konfigurasi sektor SIC menyebabkan kehilangan kuasa tidak disengajakan pada beberapa jentera.
“Susulan itu, Jabatan Teknikal FIA menarik balik kekangan had tenaga di sektor terjejas menerusi kemas kini perisian yang diedarkan kepada semua pasukan ketika perlumbaan ditangguhkan akibat hujan lebat, sekali gus membolehkan pasukan membuat perubahan diperlukan pada unit kuasa sebelum perlumbaan bermula.
“Masalah ini tidak dikesan FIA atau pasukan ketika ujian mahupun pusingan menuju ke petak permulaan. FIA bersama pasukan dan pengeluar unit kuasa akan menjalankan semakan menyeluruh terhadap masalah ini.”
Kegagalan Russell menamatkan perlumbaan menyaksikan beliau kini ketinggalan 84 mata di belakang rakan sepasukannya dengan hanya tujuh perlumbaan dijadualkan berbaki dan maksimum 183 mata boleh diraih.
“Sepanjang hari terasa agak menyusahkan dengan penangguhan, bendera merah dan pusingan tidak berkesudahan di belakang kereta keselamatan.
“Hari ini tidak terasa seperti ‘F1’. Saya juga pasti kecewa jika berada di tempat duduk penonton dan menyaksikan semua itu berlaku.” - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.