Saturday, October 10, 2026

Kawal ketat pencampuran minyak demi imej negara, kata pakar

 Kelemahan kawal selia pencampuran minyak boleh jejas keselamatan dan keyakinan rakan dagang antarabangsa.

oil tanker
Madzli Harun berkata, semua aktiviti berkaitan minyak perlu patuhi skop lesen dan syarat ditetapkan pihak berkuasa. (Gambar Envato Elements)
PETALING JAYA:
Aktiviti pencampuran minyak (blending) perlu dikawal selia secara ketat melalui pematuhan syarat pelesenan, dokumentasi lengkap dan audit menyeluruh bagi memastikan ketelusan urus niaga serta melindungi reputasi Malaysia di peringkat antarabangsa, kata dua pakar.

Madzli Harun daripada Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkata, semua aktiviti berkaitan minyak, daripada pengimportan dan penyimpanan hingga pencampuran serta pengeksportan semula, perlu mematuhi skop lesen dan syarat ditetapkan pihak berkuasa.

Pakar dalam dasar dan undang-undang maritim, kastam serta perdagangan rentas sempadan itu menjelaskan proses pencampuran boleh mengubah komposisi dan spesifikasi minyak, sekali gus memerlukan rekod terperinci bagi mengesahkan kuantiti, pergerakan kargo serta keadaan produk sebelum dan selepas proses itu.

Katanya, dokumen perdagangan termasuk kontrak, bil muatan (Bill of Lading) dan manifes kargo perlu diselaraskan bagi memastikan maklumat diisytiharkan sepadan dengan transaksi serta keadaan sebenar barangan.

“Sekiranya sesebuah premis hanya diluluskan untuk tujuan penyimpanan, sebarang aktiviti tambahan seperti pencampuran atau perubahan gred produk perlu diteliti berdasarkan skop lesen dan peraturan yang berkuat kuasa.

“Pengendali perlu memastikan kelulusan bertulis diperoleh apabila diwajibkan, selain memastikan semua aktiviti direkodkan dengan tepat,” katanya pada forum anjuran Maritime Network Sdn Bhd dengan kerjasama UMT di Kuala Lumpur.

Peserta yang hadir pada forum berkait maritim di Kuala Lumpur hari ini.

Forum itu bertajuk ‘Strengthening Malaysia’s Downstream Petroleum Value Chain and Identifying Gaps and Enabling Factors Within Malaysia’s Regulatory Landscape’.

Madzli berkata, kelulusan bertulis ketua pengarah Kastam perlu diperoleh apabila disyaratkan peraturan, manakala percanggahan antara dokumen dengan keadaan sebenar kargo boleh menimbulkan persoalan mengenai pematuhan undang-undang, pengisytiharan barangan dan layanan cukai.

Menurutnya, audit menyeluruh juga penting bagi memastikan jumlah minyak yang diterima, disimpan, dicampur dan dieksport dapat dikenal pasti serta dipadankan dengan rekod perdagangan berkaitan.

Beliau turut menegaskan penentuan negara asal barangan dan kelayakan menikmati kemudahan di bawah perjanjian perdagangan bebas perlu berasaskan peraturan asal barangan serta dokumen sokongan yang berkaitan.

Pakar industri maritim Nazery Khalid pula memberi amaran aktiviti pencampuran minyak tanpa kelulusan, pemantauan dan pematuhan piawaian sewajarnya boleh menimbulkan risiko terhadap kesihatan, keselamatan dan alam sekitar.

Katanya, kelemahan dokumentasi dan penguatkuasaan juga boleh menjejaskan integriti sistem kawal selia negara, selain menghakis keyakinan pemain industri serta rakan dagang antarabangsa.

“Ketiadaan konsistensi dan ketepatan dokumen kargo seperti Bill of Lading dan manifes tidak harus diambil ringan, terutamanya kargo bersifat cecair seperti produk petroleum dan minyak kelapa sawit.

“Ia berpotensi memberi ruang kepada pelbagai bentuk salah laku yang boleh mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan dan alam sekitar,” katanya.

Nazery berkata, aspek kelulusan, pemantauan, dokumentasi dan pematuhan syarat operasi perlu diberikan perhatian serius bagi memastikan aktiviti pencampuran minyak dilaksanakan mengikut peraturan serta amalan terbaik antarabangsa.

“Sekiranya situasi ini tidak ditangani dengan segera dan menyeluruh, ia boleh menjejaskan keyakinan umum terhadap integriti industri yang terbabit serta merosakkan imej negara di persada antarabangsa,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.