Monday, October 5, 2026

Shahril persoal proklamasi undur tarikh ditandatangani Ismail

 Bekas ketua penerangan Umno berkata sepatutnya proses baharu dimulakan, bukannya bergantung proklamasi bertarikh 19 April itu.

Ismail Lasim
Ismail Lasim angkat sumpah jawatan dan tat setia menteri besar di hadapan Yang di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada 2 Ogos, sebelum menandatangani proklamasi penurunan takhta baginda keesokan harinya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas ketua penerangan Umno, Shahril Hamdan, mempersoal sama ada proklamasi bertarikh 19 April berhubung penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan boleh dianggap sah selepas ditandatangani Menteri Besar Ismail Lasim, beberapa bulan kemudian.

Shahril turut mempersoalkan sama ada dokumen yang pada asalnya dikeluarkan tanpa tandatangan menteri besar sebelum itu boleh dibawa kepada menteri besar baharu memegang jawatan lalu menandatanganinya.

“Dia macam ‘back date’ (undur tarikh) balik,” katanya dalam audio siar Keluar Sekejap.

Shahril mengakui beliau tidak pasti mengenai kedudukan undang-undang berhubung perkara itu, namun berkata terdapat asas untuk berhujah bahawa proses sedemikian tidak boleh dilakukan sedemikian.

“Itu persoalan perundangan yang saya kurang pasti…tapi saya rasa ada hujah mengatakan tak boleh macam itulah.

“Kalau pun nak menurunkan (takhta) buatlah proses yang baharu. Buatlah balik proklamasi yang baharu di bawah menteri besar sedia ada dengan Undang yang sedia ada,” katanya.

Timbalan Presiden Muda Zaidel Baharuddin, turut membangkitkan perihal hampir sama mengapa pihak terlibat terus bergantung pada proklamasi 19 April, bukannya memulakan proses baharu.

“Mengapa kita mesti melihat kepada 19 April? Mengapa tidak memulakan proses baharu dan membetulkannya dari awal?

“Sebaik sahaja pertikaian itu diselesaikan…barulah mulakan proses baharu bersama Undang baharu.”

Ismail mengangkat sumpah jawatan dan taat setia sebagai menteri besar di hadapan Tuanku Muhriz pada 2 Ogos, sebelum menandatangani proklamasi tersebut keesokan harinya.

Beliau kemudiannya mendedahkan menandatanganinya dokumen di bawah paksaan dan telah membuat laporan polis berhubung perkara itu. Beliau turut mempertahankan bahawa dokumen berkenaan tidak sah kerana tidak mematuhi Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

Namun, seminggu kemudian, beliau menyokong kenyataan 10 exco yang didakwa mengesahkan penurunan takhta Tuanku Muhriz sebagai pemerintah.

Jabatan Peguam Negara kemudian berkata menteri besar dan exco tidak mempunyai kuasa menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar atau mengisytiharkan jawatan tersebut kosong. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.