Tuesday, November 24, 2026

8 ditahan kes ugut, khianat 3 restoran

 Polis berkata kumpulan lelaki itu dipercayai ugut pengusaha henti operasi perniagaan atau premis akan dirosakkan jika tidak patuh arahan.

Tangkap layar video tular menunjukkan beberapa lelaki bersenjatakan kayu di dalam restoran.
ALOR GAJAH:
Lapan lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes ugut dan khianat tiga restoran di sekitar Masjid Tanah serta Kuala Sungai Baru di sini pada Sabtu dan Ahad lalu.

Ketua Polis Alor Gajah, Ahmad Abu Bakar, berkata suspek berusia 30 hingga 46 tahun itu ditahan secara berperingkat di sekitar Alor Gajah dan Masjid Tanah sejak Sabtu hingga semalam.

Beliau berkata, lima laporan polis diterima dan satu video tular dikesan dalam media sosial, yang memaparkan beberapa rakaman litar tertutup menunjukkan kejadian ugut dan khianat dengan merosakkan harta benda oleh beberapa lelaki dengan pengusaha restoran.

“Siasatan awal mendapati kejadian itu melibatkan sekumpulan lelaki dipercayai mengugut pengusaha premis supaya menghentikan operasi perniagaan serta mengancam untuk merosakkan premis, sekiranya arahan tidak dipatuhi.

“Dalam satu daripada kejadian, suspek turut merosakkan harta benda dalam premis menggunakan kayu,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, semua suspek direman tiga hari hingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat yang menyebabkan kerosakan harta benda.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti penglibatan suspek dalam kejadian lain yang mempunyai modus operandi sama.

“Usaha mengesan individu dan menangkap suspek lain yang dipercayai terlibat dalam kejadian itu masih dijalankan.”

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi IPD Alor Gajah melalui talian 06-556 2222 atau balai polis berhampiran. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.