Anwar Ibrahim berkata kerajaan menghormati pendirian Turki yang sudah menanggung lebih empat juta pelarian.

Beliau berkata, pengesahan itu diperoleh terus daripada pihak berkuasa Turki dua hari lalu, sekali gus menjelaskan kekeliruan berhubung kenyataan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, Jumaat lalu.
“Saya sendiri mendapat pengesahan daripada kerajaan Turki dua hari lalu bahawa mereka belum bersedia menimbangkan (permohonan Malaysia)…atas alasan Turki sekarang menanggung lebih daripada empat juta pelarian dari negara Teluk, negara Arab dan beberapa negara jiran,” katanya pada sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.
Anwar menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) dan Jimmy Puah (PH-Tebrau) mengenai status persetujuan Turki menerima pelarian Rohingya serta tindakan susulan kerajaan berhubung kenyataan Zahid yang mencetuskan pertikaian.
Perdana menteri menjelaskan kenyataan Zahid dibuat berdasarkan dasar kerajaan memohon bantuan negara ketiga termasuk negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi meringankan beban Malaysia menampung hampir 200,000 pelarian, namun berlaku kekeliruan.
“Kita telah sampaikan kepada TPM (Zahid) dan insya-Allah hari Jumaat ini saya akan sampaikan kepada Jemaah Menteri…iaitu dasar kita betul tetapi ada negara tidak bersedia.
“Jadi, ada sedikit kekeliruan sama ada sudah bersedia atau belum sedia. Sekarang jawapannya tegas,” katanya menegaskan Malaysia menghormati keputusan Turki.
Jumaat lalu, Zahid menerusi Facebook mengumumkan sebanyak 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia akan ditempatkan semula di Turki melalui program latihan kemahiran berstruktur.
Bagaimanapun, pengumuman itu dinafikan kerajaan Turki dan kenyataan Zahid turut dipadamkan kemudian tanpa sebarang penjelasan. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.