`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, January 12, 2014

Jangan sampai semua tergadai


DR AMINUDIN MANSOR

SEBUAH negara yang merdeka tentunya mempunyai undang-undang tubuh yang telah diasaskan oleh cerdik pandai dan orang terdahulu sebelum merdeka.

Begitulah, negara Malaysia mempunyai Perlembagaan Persekutuan, ideologi wawasan dan dasar pembangunan negara.

Ideologi merupakan panduan untuk mencapai sesuatu matlamat. Tanpa panduan segala tindakan akan tersalah arah.

Justeru, Malaysia telah membentuk suatu ideologi yang dinamakan Rukun Negara yang mengandungi prinsip-prinsip yang jelas untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan sejahtera.

Jika tidak mengikut ideologi dan prinsip ini besar kemungkinan negara akan mengalami kemunduran dan tidak maju sejahtera.

Tambahan pula apabila semua bidang kehidupan terus dipolitikkan seperti isu agama, bahasa, sejarah dan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera.

Petunjuk negara maju dan sejahtera sangat jelas melalui ideologi negara iaitu Rukun Negara, Wawasan 2020 dan Dasar Pembangunan Negara iaitu ekonomi dan sosial.


Sebagai pemimpin politik apa juga parti perlu memahami dasar dan prinsip yang diasaskan ini.

Tujuannya sangat jelas iaitu mewujudkan suatu keadaan di mana rakyat dari pelbagai kumpulan etnik, agama, dan wilayah hidup dengan aman sebagai satu bangsa yang bersatu.

Selain itu, dengan cita-cita yang jelas untuk mencapai perpaduan lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat dan melahirkan masyarakat yang mampu memelihara satu cara hidup demokratik.

Setiap pemimpin politik bertanggungjawab menyeru ke arah ini mencari jalan penyelesaian jika ada masalah dalam masyarakat bukan mencari keuntungan dan mendapat kan kepentingan daripada isu-isu yang dibangkitkan.

Pemimpin politik juga sewajarnya memimpin dan mencipta satu masyarakat Malaysia yang adil di mana kemakmuran negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama.

Rakyat yang dipimpin juga setuju dan menyokong ke arah menjamin satu cara yang liberal terhadap tradisi kebudayaannya yang kaya pelbagai corak dimajukan dan dikembangkan.

Para pemimpin juga sewajarnya menyeru supaya masyarakat bersama-sama berazam untuk membina sebuah masyarakat yang progresif yang menggunakan sains dan teknologi moden.

Jika direnung dengan fikiran yang bijaksana, rakyat dan pemimpin politik banyak menghabiskan masa dengan isu-isu tidak menjurus kepada kepentingan rakyat keseluruhannya.

Sebagai contoh, kurang berusaha mencari jalan penyelesaian ke arah kenaikan kos sara hidup rakyat lebih mencari keuntungan dari segi politik.

Di manakah pandangan pemimpin mengajak supaya rakyat mempunyai pandangan jauh ke hadapan untuk membawa kemajuan kepada negara.

Di mana suara pemimpin yang proaktif dan sentiasa terdorong untuk membawa kemajuan kepada negara dengan menjadikan ilmu dan kemahiran serta pengetahuan sains dan kemahiran teknologi sebagai pemangkin kepada strategi memajukan negara.

Undang-undang merupakan satu alat untuk mengawal tingkah laku anggota masyarakat. Hal ini untuk menjamin ketenteraman sosial dan negara.

Justeru, kedaulatan undang-undang sangat penting didaulatkan dan tegas dalam pelaksanaan bagi membentuk keamanan dan menegakkan undang-undang. Misalnya, rakyat boleh membuat aduan kepada pihak yang bertanggungjawab jika mendapati unsur-unsur yang menyalahi undang-undang.

Kini terdapat pelbagai cabaran yang harus diatasi oleh pihak yang bertanggungjawab seperti ada pihak yang melakukan pelbagai kesalahan, mempersoalkan kontrak sosial, kalangan masyarakat yang mementingkan diri sendiri, mempersoalkan kedudukan dan kuasa Raja-raja, memburuk-burukkan Malaysia dan mempertikaikan usaha kerajaan.

Jika perkara ini terus berlaku sampai bila rakyat akan dapat hidup dengan aman dan selesa? Jawapannya hanya ada pada kita semua. Ingatlah jangan sampai semua tergadai.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.