Sunday, August 1, 2021

Perpecahan BN, Umno hanya dapat diperbaiki pada PRU15, kata Shahrir

 

Menurut Shahrir Samad, setelah 38 bulan berlalu semenjak PRU14, Umno dan BN sekurang-kurangnya sudah berpecah kepada tiga kumpulan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Perpecahan dalam Barisan Nasional (BN) dan Umno adalah satu perkara yang tidak dapat diselindungkan lagi, kata veteran parti itu Shahrir Samad.

Katanya, perpecahan ini hanya dapat diperbaiki pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Umno dan BN, di peringkat atas, sememangnya sudah berpecah dengan masing-masing mempunyai hala tuju sendiri. Ianya tidak boleh diperbetulkan masa ini.

“InsyaAllah, kerana akar umbi Umno khususnya masih kekal, ianya diperbetulkan pada PRU yang akan datang,” katanya di Facebook.

Beliau mendakwa perpecahan itu berlaku sejak PRU14, bermula di Sabah apabila majoriti ketua-ketua bahagian Umno negeri itu dipengaruhi oleh seorang pemimpin yang pernah berkedudukan tinggi dalam Umno.

“Mereka bersama ADUN Umno-BN melompat ke Bersatu. Kemudian 16 lagi Ahli Parlimen Umno-BN melompat keluar, 15 ke Bersatu dan 1 ke Warisan.

“Menjelang PRK (Pilihan Raya Kecil) Tanjung Piai yang ditandingi oleh Bersatu-PH dan MCA-BN, 6 Ahli Parlimen Umno-BN secara terbuka menyokong Tun Dr Mahathir sebagai PM sehingga hujung penggal Parlimen ke-14.

“Namun yang lima ini masih kekal bersama ketua mereka (seorang yang lebih suka bertindak sebagai tangan ghaib) masih lagi berada dalam Umno. Seorang sudah pun meninggalkan kumpulan ‘6 Jahanam’ ini,” katanya.

Menurutnya lagi, setelah 38 bulan berlalu semenjak PRU14, Umno dan BN sekurang-kurangnya sudah berpecah kepada tiga kumpulan, walaupun Umno masih mempunyai 39 Ahli Parlimen berstatus wakil rakyat BN.

“Perpecahan di peringkat elit ini tidak pula dicerminkan di peringkat akar umbi parti. Bekerjasama dengan Bersatu di peringkat tertinggi tidak juga diterjemahkan dengan kerjasama di peringkat akar umbi.

Tambahnya, MCA dan MIC menyokong kedudukan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, sebagai tanda keselesaan kepimpinan kedua-dua parti komponen BN itu dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Bagaimana pula kebersamaan ini dicerminkan di peringkat akar umbi mereka masih belum jelas,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.