Wednesday, July 24, 2024

Deklarasi Beijing bukti Hamas, Fatah bersatu bina semula Palestin, kata Ismail

 

China Palestinians
Semalam dilaporkan 14 kumpulan Palestin termasuk Fatah dan Hamas menghadiri rundingan perdamaian dan menandatangani Deklarasi Beijing untuk bersama-sama membina kembali Palestin selepas diceroboh Israel. (Gambar AP)

PETALING JAYA
Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob memuji dan menghargai kerajaan China yang berjaya mendamaikan Hamas dan Fatah bersama 12 fraksi politik dalam usaha membina semula Palestin yang diceroboh Israel.

Beliau berkata, Deklarasi Beijing yang dimeterai oleh kumpulan-kumpulan berkenaan semalam di Beijing penting dalam membuktikan perpecahan dalam kalangan mereka telah berakhir.

“Deklarasi Beijing amat penting untuk membuktikan bahawa mereka telah bersatu dan bersedia untuk bersama-sama membina kembali Palestin selepas diceroboh serta dijajah Israel.

Tahniah dan sekalung penghargaan kepada China yang berusaha mendamaikan fraksi-fraksi Palestin secara tidak langsung menamatkan usaha pihak tertentu memecah-belahkan rakyat negara tersebut,
 katanya dalam hantaran di Instagram.

Dalam pada itu, Ismail turut menggesa negara di seluruh dunia bukan sahaja mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara merdeka, namun bersama berusaha menamatkan penghapusan etnik dan kezaliman paling dahsyat itu.

Semoga perdamaian ini benar-benar ini diterjemahkan, bukan hanya di atas kertas sahaja. Palestin bebas dan merdeka!,
 katanya.

Semalam, media antarabangsa melaporkan 14 kumpulan Palestin mencapai persetujuan secara praktikal dan terperinci untuk menamatkan perpecahan dan mengukuhkan perpaduan.

Wakil 14 kumpulan itu termasuk Fatah dan Hamas yang menghadiri rundingan perdamaian dan menandatangani Deklarasi Beijing yang berlangsung dari 21 Julai hingga 23 Julai.

Fatah dan Hamas yang juga dua kuasa besar politik Palestin dilapor menandatangani deklarasi itu bagi menamatkan perpecahan yang sudah berlarutan sekian lama. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.