Wednesday, July 17, 2024

Tanpa saya Umno tak jadi kerajaan Melaka, Jailani ingatkan Akmal

 

Free Malaysia Today
Jailani Khamis berkata Akmal Saleh mungkin tidak jadi Adun Merlimau jika tiada PRN Melaka pada 2021, yang beliau salah seorang pencaturnya.

PETALING JAYA
Adun Rembia, Muhamad Jailani Khamis, mengingatkan Umno yang menyerangnya kini selepas menyertai PAS, supaya tidak lupa peranan pentingnya dalam membawa parti itu kembali mentadbir Melaka.

Bercakap kepada FMT, Jailani berkata jika bukan kerana dirinya menarik sokongan daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) Melaka pimpinan Adly Zahari pada 2020, Umno tidak akan kembali mentadbir di negeri itu.

Jailani yang ketika itu Adun PKR mengisytiharkan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) bersama wakil rakyat DAP, Norhizam Hassan Baktee. Beliau menyertai Umno pada Jun 2021 selepas meninggalkan PKR.

Beliau turut mendakwa terbabit dalam percaturan politik yang membawa kepada berlangsungnya PRN pada 2021, menyaksikan BN menang 21 daripada 28 kerusi termasuk DUN Merlimau diwakili Dr Akmal Saleh, yang giat menyerangnya kini.

PRN pada 2021 diadakan selepas empat wakil rakyat menarik balik sokongan mereka kepada ketua menteri ketika itu, Sulaiman Md Ali.

“Akmal boleh cakap apa dia nak cakap. Kalau tiada orang macam saya beri sokongan untuk mengembalikan kerajaan Melaka kepada Umno pada 2020… orang begini (Akmal) tak jadi YB hari ini.

Kalau dia nak kata terjejas atau tidak Umno selepas saya masuk PAS… terpulang,
 katanya kepada FMT.

Semalam, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengumumkan Jailani yang juga wakil rakyat digantung keahlian Umno, diterima menyertai parti itu pada 10 Jun 2023, sebelum akta antilompat parti dikuatkuasakan di Melaka.

Akmal antara pemimpin Umno yang lantang mengkritik tindakan Jailani dan mempersoalkan tindakan PAS menerimanya, selepas membantah keputusan speaker Dewan Rakyat mengekalkan kedudukan enam bekas Ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, minggu lalu.

Beliau berkata tindakan Jailani menyertai PAS tidak memberi kesan langsung kepada Umno Melaka dan parti itu sedia berdepan PAS dan PN, jika PRK diadakan di DUN Rembia. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.