Monday, July 22, 2024

Isu pemilikan tanah: 90% Orang Asli setuju pindaan Perlembagaan

 

Free Malaysia Today
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Ramli Mohd Nor, berkata kebanyakan Orang Asli menetap secara bertaburan di Kelantan, Kedah, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Terengganu. (Gambar Bernama)

GUA MUSANG
Sebanyak 90% Orang Asli bersetuju dan memberi maklum balas positif menerusi sesi libat urus berhubung isu Pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan pemilikan tanah komuniti itu sebelum ia dibentangkan di Parlimen pada 2027.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Ramli Mohd Nor, berkata mengikut kerangka di seluruh negara, seramai 219,000 Orang Asli mahu pindaan Perlembagaan melibatkan isu itu agar ia dapat diselesaikan.

Beliau berkata, kebanyakan Orang Asli menetap secara bertaburan di Kelantan, Kedah, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan Terengganu.

Oleh itu, boleh dikatakan pada dasarnya saya melihat 90% bersetuju dan ini jumlah yang tinggi,
 katanya pada Perhimpunan Perdana Batin serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) peringkat Jabatan Kemajuan Orang Asli Kelantan/Terengganu 2024 di Kuala Betis, di sini.

Ramli berkata, selain dijalankan di Gua Musang, Kelantan, sesi libat urus itu turut diadakan di Selangor, Kuala Lumpur, Pahang Barat, Perak, Johor, Kedah dan akan datang di Pahang.

“Perkara ini memerlukan garis panduan jelas kerana ia melibatkan kepentingan masyarakat Orang Asli.

“Jika dilihat senarai tugas kerajaan negeri, isu tanah ini terletak di bawah kerajaan negeri. Oleh itu, usaha ini memudahkan tuntutan masyarakat Orang Asli sebab ia melibatkan tanah adat mereka.

Selepas selesai semua sesi libat urus, perkara ini akan dibawa kepada Majlis Peguam, kemudian kepada Kabinet yang akan menyerahkan kepada peguam negara untuk pandangan, seterusnya kepada Majlis Raja-raja.

Katanya, sesi penerangan mengenai Perlembagaan ini dapat meningkatkan pemahaman, selain komitmen serta kesanggupan Batin dan JPKKOA membantu kerajaan membangunkan kawasan luar bandar serta membimbing masyarakat Orang Asli dalam meningkatkan taraf hidup mereka. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.