Seorang jemaah berkata mereka dijadualkan pulang dengan penerbangan Malaysia Airlines MH159 pada 9.30 malam 2 Mac ini.

Seorang jemaah, Nasarudin Kassim, 57, memaklumkan mereka sepatutnya berlepas pulang ke tanah air pada 1 pagi waktu tempatan, namun dimaklumkan pembatalan itu oleh syarikat penerbangan pada 8 malam sebelumnya.
Beliau berkata, kumpulan jemaah itu kini ditempatkan sementara di sebuah hotel di Jeddah oleh syarikat penerbangan sementara menunggu jadual penerbangan seterusnya.
Selain kumpulan dari agensi itu, terdapat beberapa kumpulan jemaah dari agensi lain turut terkesan dan ditempatkan di hotel sama.
Nasarudin berkata, berdasarkan maklumat terkini, mereka dijadualkan berlepas pulang melalui penerbangan Malaysia Airlines MH159 pada 9.30 malam 2 Mac ini, tetapi lokasi pelepasan diubah dari Jeddah ke Madinah.
Terdahulu, Malaysia Airlines membatalkan beberapa penerbangan hari ini serta esok antara Kuala Lumpur dan Doha, Jeddah serta Madinah susulan penutupan ruang udara di beberapa bahagian Timur Tengah.
Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah dalam kenyataan di Facebook malam ini memaklumkan pihaknya sentiasa memantau perkembangan dan keadaan terkini di rantau itu.
“Situasi di seluruh Arab Saudi ketika ini selamat dan terkawal. Namun, rakyat Malaysia di Arab Saudi dinasihatkan peka dengan perkembangan semasa dan diminta kekal tenang.
“Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah sentiasa berkomunikasi dengan pihak berkuasa mengenai situasi semasa dan sebarang perkembangan penting yang memerlukan tindakan lanjut akan dimaklumkan segera.”
Rakyat Malaysia yang menetap di wilayah barat Arab Saudi dan melaksanakan umrah serta ziarah dimohon memuat turun aplikasi MyWorldAlert bagi memantau situasi semasa dan memudahkan bantuan diberikan.
Ketegangan di Timur Tengah meningkat susulan serangan bersama Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran pada Sabtu, dengan Israel menyifatkannya “serangan awal” terhadap musuh ketatnya bagi “menghapuskan ancaman”.
Serangan itu menyusul tindakan AS meningkatkan kehadiran tenteranya secara besar-besaran di rantau berkenaan bagi memberi tekanan kepada Tehran untuk mengurangkan program nuklearnya serta tindakan keras di Iran terhadap protes besar-besaran. - FMT





