`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, January 15, 2014

Adik Najib Sindir Najib Kangkung Dalam Artikelnya?

Tiga puluh lapan tahun dahulu pada hari ini, 14 Januari 1976, Tun Abdul Razak Hussein menghembuskan nafas terakhirnya di London selepas komplikasi leukemia.

Malaysia kehilangan perdana menteri. Saya kehilangan. Malaysia ketika itu berusia 19 tahun. Saya pula sembilan tahun. Hari-hari selepas itu diselubungi kesedihan peribadi dan seluruh negara berkabung.

Empat adik-beradik termasuk saya sedaya upaya cuba menenangkan ibu kami, sementara rakyat yang baik hati seluruh negara bersimpati memberikan peringatan bahawa kami tidak keseorangan semasa menghadapi tragedi ini. 

Saya perlu mengakui semasa kecil pada waktu itu serta jadual bapa yang terlalu sibuk, kadang kala saya mengeluh kerana pengorbanan bapa kepada negara menyebabkan masanya untuk bersama keluarga terlalu sedikit. 

Bagaimanapun, saya sangat berbangga dengan dedikasi bapa kepada negara yang masih muda ketika itu. 

Saya tidak berpeluang mengenali bapa. Namun, tertanam dalam diri saya adalah nilai yang diterapkan oleh beliau, integriti yang beliau asuh menjangkaui semua. 

Ya, menjangkau semua termasuk keluarga saya. Saya imbau kembali ketika abang saya dan saya mendekatinya pada suatu petang dan meminta kolam renang dibina di Seri Taman, kediaman rasmi Perdana Menteri yang kami tinggal. 

Berlatarbelakangkan seorang peguam, bapa menyuruh kami memberi hujah secara logik dan rasional. 

Dan kami lakukannya, walaupun hujah kami amat baik, tiba-tiba wajahnya berubah dan matanya merenung kami dengan keadaan menjengkelkan. 

Bapa menjelaskan Seri Taman mungkin adalah rumah kami, tapi rumah tersebut adalah milik kerajaan maka ia juga milik rakyat. 

Sebarang kos perbelanjaan rumah tersebut datang daripada dana awam, mustahil untuk beliau membenarkan kutipan hasil negara dibelanjakan pada sesuatu perkara remeh seperti kolam renang. 

"Apa yang rakyat akan kata?" soal bapa. 

Sepanjang saya membesar, saya sering mendengar daripada orang ramai yang mengenali bapa secara rapat, termasuk mereka yang berkerja di dalam kerajaan, politik, individu terlibat dalam mencapai kemerdekaan dan juga rakan peribadi beliau. 

Ia adalah salah satu cara saya untuk mengenali bapa. 

Apa yang mencuri perhatian saya adalah hampir semua perbualan mengenai bapa adalah tentang kualiti yang menjadikan diri bapa seorang yang berharga. 

Sebagai seorang penjaga amanah aset negara, kesederhanaan bapa adalah lagenda. 

"Kamu perlu kira setiap sen, atau ia akan dipertanggungjawabkan ke atas diri kamu," seorang bekas menteri memberitahu saya. 

Jadi, saya sudah mengetahuinya. Bukan hanya di dalam episod kolam renang tetapi banyak peristiwa lain lagi. 

Abang saya sering bercakap mengenai peluang yang jarang-jarang sekali kami dapat iaitu semasa menemaninya dalam lawatan rasmi ke Switzerland. 

Bapa pastikan segala perbelanjaan dikeluarkan daripada poketnya sendiri, sangat berhati-hati dengan kos yang ditanggung kerajaan sehingga beliau memilih hotel lebih murah daripada yang asalnya ditempah, mereka berulang kali makan di restoran paling murah di sekitar hotel tersebut. 

Kemudian lawatan terakhirnya ke Eropah pada Oktober 1975 untuk mendapatkan rawatan perubatan. 

Bapa mungkin tahu lawatan tersebut mungkin yang terakhir buatnya, namun beliau tidak membenarkan ibu menemaninya untuk menjimatkan wang. 

Ia mungkin kerana kebimbangan tentang situasi kewangannya selepas meninggal dunia. 

Ibu hanya menemaninya seminggu kemudiaan atas kelulusan Kabinet dengan peruntukan khas yang diluluskan untuk perjalanannya. 

Ketelusannya sering menjadi bualan mulut ramai pihak. Bapa didorong oleh konsep dalam perkhidmatan awam yang dianggap kolot dan ketinggalan pada zaman ini di mana setiap kakitangan awam perlu berkhidmat untuk rakyat dan amanah diberikan mestilah tidak boleh dikhianati. 

Seorang kakitangan awam pertama sekali beramanah dan orang ramai mesti tidak dikhianati. 

Satu lagi perkara yang sentiasa didengar adalah mengenai staminanya. 

Ramai yang hairan selepas mengetahui bapa mengidap leukemia kerana beliau sering aktif semasa di dalam pejabatnya, sering menghadiri tugas rasmi, melibatkan diri dalam setiap perincian dasar di samping lawatan mengejutnya ke kawasan yang sering diperkatakan di seluruh negara bagi membolehkan beliau mendengar secara terus daripada orang ramai tentang apa yang sedang berlaku di bawah. 

Sudah pasti ramai juga yang sudah hilang kiraan terhadap dedikasi Tun Razak kepada pembangunan luar bandar. 

Beliau mengamalkan "Rakyat Didahulukan", sebelum slogan tersebut kedengaran. 

Paling penting, ramai yang sebulat suara tekankan adalah komitmen bapa kepada perpaduan negara ke arah membina sebuah negara bagi setiap warganegara untuk berpayung di bawah negara Malaysia. 

Visi tersebut diterjemahkan di bawah dua inisiatif yang diterajui bapa saya susulan tragedi berdarah 13 Mei 1969, pengenalan Rukunegara pada 1979 dan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada 1971. 

Rukunegara menyeimbangkan tradisi budaya asli dan warisan atas tuntutan sebuah negara yang moden dan sekular. 

Matlamat DEB seperti digariskan dalam pengumuman polisi bertujuan menganjurkan pelaksanaan perpaduan negara menerusi kajian sosio-ekonomi paling penting yang direncanakan menerusi misi berkembar untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan penstrukturan semula fungsi ekonomi berasaskan identifikasi etnik. 

Perdebatan mengenai DEB berterusan hingga hari ini. Diri saya sendiri secara terbuka berkata sesuatu tersasar dalam pelaksanaannya. 

Penetapan kuota sering dilihat sebagai jalan mudah kepada beberapa perkara yang mereka pilih mewujudkan satu jurang intra etnik dalam kelas dan status, di samping dipanaskan lagi dengan tekanan antara etnik. 

Kedua-dua perkembangan ini dilihat walaupun bukanlah semuanya membelakangi matlamat DEB yang diperkenalkan Tun Razak iaitu mengukuhkan perpaduan negara. Apa yang silapnya? 

Sesetengah orang berhujah ia berpunca daripada langkah drastik sendiri. Bagi saya ia adalah kerana pelaksanaannya tersasar daripada fokus dalam pendekatan taktikal daripada komitmen kepada matlamat asalnya. 

DEB pastinya membasmi kemiskinan dan mengurangkan ketidakseimbangan ekonomi dengan menghasilkan kelas pertengahan kaum Melayu. 

Bagaimanapun dalam maksud lebih luas, yang lebih baik dapat kita katakan adalah DEB pada awalnya berjaya menghakis jurang konflik perkauman selepas 13 Mei. 

Berterima kasih kepada DEB, Malaysia tidak mengikut jejak seperti yang berlaku di Sri Lanka, di mana mereka terjebak dalam pertelingkahan berdekad lamanya antara pendatang Tamil dan orang asal Sinhalese. 

Ia bukan satu pencapaian kecil. Tapi janji DEB untuk memperkukuhkan perpaduan negara tidak dapat direalisasikan. 

Malah, wujud pula tanda ketegangan antara etnik yang sekali lagi berada pada tahap membimbangkan. Apa yang boleh dilakukan? 

Peribahasa Melayu berkata: "Sesat di hujung jalan, balik ke pangkal jalan". Pada pandangan saya, balik ke pangkal bermakna kita melihat semula kepada nilai, komitmen, visi dan ini termasuklah apa yang dibawa dan ditunjukkan oleh Tun Razak. 

Saya sudah nyatakan pada awal tentang ketelusan beliau, komitmennya terhadap konsep penjawat awam dan visi progresifnya, bagi menjadikan Malaysia yang lebih bersatu padu dan kaya. 

Tapi biarlah saya akhirinya dengan menekankan dua legasi utama Tun Razak. Satu, beliau adalah demokrat sebenar. 

Dua tahun selepas mengendalikan Majlis Gerakan Negara (Mageran), beliau membubarkan jawatankuasa dan memperkenalkan sistem demokratik. Beliau memegang kuasa secara mutlak dalam MAGERAN, tetapi pandangan luas dan nilai-nilai yang ditunjukkannya bersandar pada satu asas pemerintahan demokrasi, bukannya diktator. 

Cara beliau membuat keputusannya boleh digambar sebegini: Beliau membawa masuk semua diperlukan penglibatannya dan mengadakan perbincangan konsultatif sebelum membuat sebarang keputusan penting untuk dilaksanakan. 

Beliau tidak pernah meminggirkan mereka yang mempunyai pandangan berbeza, beliau mengalu-alukan kepelbagaian pendapat bagi mendapatkan hasil terbaik bagi membuat keputusan muktamad yang tepat. 

Kedua, ketika beliau komited untuk memperbaiki kualiti hidup majoriti bumiputera bagi mengelak berulangnya satu lagi "13 Mei", beliau melihat perkara tersebut sebagai hak istimewa negara daripada sudut perkauman. 

Perkara tersebut bagi saya menjelaskan kesungguhan untuk melibatkan semua rakyat Malaysia yang terbaik dan cemerlang ke arah usaha tersebut, tanpa mengira latar belakang kaum atau etnik mereka. 

Periksalah mereka yang pernah bekerja dengan beliau dan pentadbirannya sebelum ini. 

Pada ketika itu, semua rakyat Malaysia bersatu di bawah satu kesungguhan untuk membina negara ini di atas abu 13 Mei. Itu adalah legasi Tun Razak kepada Malaysia. 

Kita boleh menghargainya dengan kembali ke "Pangkal Jalan".


Mohd Nazir bin Abdul Razak

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.