Lima beradik itu sebelum ini hanya belajar di rumah kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Ketiadaan sijil kelahiran menyebabkan kelima-lima anak wanita dikenali sebagai Syuhada berusia antara tujuh hingga 11 tahun, tidak dapat bersekolah secara rasmi seperti kanak-kanak lain, meskipun sudah melepasi umur wajib persekolahan.
Akibat keadaan itu, dia terpaksa mengajar sendiri anak-anaknya di rumah sekadar kemampuan yang ada, khususnya dalam asas membaca dan mengira.
“Kalau mengira mereka pandai. Membaca itu sedikit-sedikitlah, sebab saya ajar mereka,” katanya ditemui selepas menerima sijil kelahiran dan MyKid untuk anakya daripada Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.
“Selepas ini saya akan sekolahkan (daftar) mereka, itu paling penting.”
Beliau mengakui kelewatan mendaftarkan kelahiran anak-anak berpunca daripada masalah keluarga serta kekangan tertentu sebelum ini, walaupun kelima-lima mereka dilahirkan di hospital dan mempunyai dokumen sokongan.
Menurutnya, proses pendaftaran lewat kelahiran memerlukan saksi dan dokumen tambahan, sekali gus menyukarkan urusan serta menyebabkan ia tertangguh bertahun-tahun.
Sementara itu, Saifuddin berkata ia bukan bukan sekadar penyerahan dokumen, tetapi usaha memulihkan hak serta masa depan kanak-kanak berkenaan.
“Ini tentang memberi semula hak, memulihkan masa depan, dan mengangkat maruah lima orang kanak-kanak warganegara Malaysia yang sebelum ini hidup tanpa pengiktirafan identiti rasmi,” katanya.
Beliau berkata kes itu dikenal pasti selepas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerima maklumat melalui satu video tular di media sosial pada 24 Jan lalu, sebelum tindakan segera diambil.
Permohonan daftar lewat diluluskan pada 9 Feb dan sijil kelahiran serta MyKid dikeluarkan sehari kemudian. - FMT


No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.