`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!

 



 


16 SEPTEMBER 2026

Thursday, October 22, 2026

Jangan mansuh COSS sebelum bantuan bersasar terbukti berkesan

 Ahli ekonomi Ahmed Razman Abdul Latiff berkata subsidi minyak masak peket 1kg wajar dikekalkan sehingga mekanisme bantuan bersasar dapat memastikan golongan rentan tidak tercicir.

minyak masak peket
Ahli Parlimen Gopeng Tan Kar Hing baru-baru ini cadang kerajaan mansuh skim penstabilan harga minyak masak secara berperingkat dan menyalurkan peruntukannya kepada bantuan lebih bersasar seperti SARA. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan tidak wajar memansuhkan Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) sebelum memastikan bantuan bersasar seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) mampu melindungi golongan yang memerlukan, kata ahli ekonomi.
Ahmed Razman Abdul Latiff.
Ahmed Razman Abdul Latiff.

Ahmed Razman Abdul Latiff daripada Putra Business School (PBS) berkata, peralihan kepada subsidi bersasar berpotensi mengurangkan ketirisan dan meningkatkan kecekapan perbelanjaan kerajaan.

Namun, katanya, pemansuhan COSS tanpa mekanisme gantian yang berkesan boleh meningkatkan tekanan kos sara hidup, khususnya terhadap isi rumah berpendapatan rendah yang bergantung kepada minyak masak peket 1kg bersubsidi.

“Pada pandangan saya, SARA belum sesuai menggantikan subsidi minyak masak sepenuhnya kerana minyak masak ialah barangan keperluan asas yang digunakan oleh hampir semua isi rumah.

“Pendekatan lebih seimbang ialah mengekalkan subsidi terhad bagi minyak masak asas sambil memperkukuh SARA untuk golongan rentan, sekurang-kurangnya sehingga sistem bantuan bersasar terbukti berkesan,” katanya kepada FMT.

Razman mengulas cadangan Ahli Parlimen Gopeng Tan Kar Hing supaya kerajaan memansuhkan COSS secara berperingkat dan menyalurkan peruntukannya kepada bantuan lebih bersasar seperti SARA.

Tan pada 19 Okt berkata langkah itu boleh memastikan wang awam digunakan dengan lebih berkesan ketika kerajaan berdepan kekangan fiskal dan peningkatan kos khidmat hutang.

Cadangan itu susulan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang dibentangkan pada Julai lalu mengenai kelemahan pengurusan kawalan harga dan subsidi minyak masak, termasuk isu berkaitan kuota dan pengurusan subsidi.

Razman berkata, cadangan beralih kepada bantuan bersasar mempunyai merit kerana ia boleh membantu memastikan subsidi sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Bagaimanapun, katanya, sebarang pemansuhan COSS perlu dilakukan secara berperingkat dan berdasarkan penilaian impak supaya pengguna serta peniaga kecil tidak berdepan kenaikan kos secara mendadak.

Menurutnya, subsidi barangan mempunyai kelebihan kerana dapat mengekalkan harga minyak masak paket pada paras mampu milik, tetapi pada masa sama terdedah kepada ketirisan, penyalahgunaan kuota dan kesukaran memastikan manfaat hanya dinikmati golongan sasaran.

Jangan biar golongan tercicir

Saravanan Thambirajah.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Saravanan Thambirajah, berkata COSS masih relevan dan wajar dikekalkan buat masa ini kerana minyak masak merupakan barangan keperluan asas.

Katanya, tidak semua isi rumah yang berdepan tekanan kewangan menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) atau SARA, menyebabkan bantuan bersasar mungkin belum dapat menggantikan subsidi sedia ada sepenuhnya.

“Kita juga perlu sedar bahawa bukan semua rakyat menerima STR atau SARA. Masih terdapat isi rumah yang menghadapi tekanan kos sara hidup tetapi tidak memenuhi syarat kelayakan atau tercicir daripada sistem bantuan,” katanya.

Saravanan berkata, keutamaan kerajaan ketika ini sepatutnya memastikan bekalan minyak masak paket bersubsidi mencukupi dan mudah diperoleh, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Pada masa sama, katanya, pemantauan dan penguatkuasaan perlu diperkukuh bagi mengurangkan ketirisan serta penyalahgunaan subsidi.

“Akhirnya apa yang paling penting bukanlah jenis subsidi atau mekanisme yang digunakan, tetapi sama ada rakyat benar-benar mendapat manfaat daripadanya.

“Jangan sampai kita berjaya menjimatkan perbelanjaan kerajaan, tetapi pada masa yang sama menyebabkan rakyat semakin terbeban mendapatkan barangan keperluan asas,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.