Madzli Harun dari UMT berkata pencampuran minyak sawit di pelabuhan negara dibenarkan tetapi tidak secara automatik menjadikan produk akhir berasal dari Malaysia.


Madzli Harun dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkata pencampuran minyak sawit di pelabuhan negara dibenarkan tetapi tidak secara automatik menjadikan produk akhir berasal dari Malaysia.
Menurut pensyarah kanan pengajian maritim itu, negara asal produk ditentukan berdasarkan peraturan asal usul barang (RoO), termasuk proses pemprosesan, kandungan bahan mentah dan kriteria perdagangan berkaitan.
“Sebagai contoh, minyak sawit dari Indonesia yang dicampur di Malaysia tidak semestinya boleh diisytiharkan sebagai produk Malaysia.
“Sebarang pindaan bil muatan pula perlu mempunyai alasan munasabah dan dokumen sah,” katanya dalam kenyataan.
Dalam konteks rantau Asia Tenggara, Madzli berkata Perjanjian Perdagangan Barangan Asean (ATIGA) menetapkan beberapa kriteria termasuk kandungan nilai serantau, perubahan klasifikasi tarif dan pengumpulan asal usul.
Menurutnya, bahan mentah dari negara Asean boleh diambil kira dalam menentukan asal produk akhir dalam keadaan tertentu, tetapi pengusaha tidak boleh sekadar mencampurkan minyak Indonesia dan Malaysia sebelum melabelkannya buatan Malaysia.
Beliau berkata Kastam, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan agensi berkaitan perlu memastikan aktiviti pencampuran serta pengisytiharan asal mematuhi peraturan.
“Dokumen seperti rekod import dan eksport, sijil asal usul, kuantiti minyak import dan tempatan serta rekod pencampuran perlu diperiksa.
“Rekod asal bahan mentah juga perlu dikekalkan bagi memastikan kebolehkesanan,” katanya sambil memberi amaran produk tercemar boleh menyebabkan penolakan kargo, menjejaskan reputasi Malaysia dan mengundang tindakan undang-undang.
Beliau berkata pengisytiharan palsu juga boleh dikenakan tindakan termasuk di bawah Seksyen 133 Akta Kastam 1967 jika memenuhi unsur kesalahan.

Sementara itu, pakar maritim dari UMT Nazery Khalid berkata dokumentasi kargo campuran mesti menggambarkan komposisi dan ciri produk dengan tepat.
Beliau berkata kes keracunan minyak masak tercemar di Taiwan perlu menjadi iktibar supaya eksport Malaysia memenuhi standard kualiti dan integriti.
“Selain memastikan proses pemprosesan, dokumentasi serta penghantarannya dilaksanakan secara teratur,” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.