Mustapha Sakmud berkata, peningkatan peruntukan mesti diterjemahkan kepada pelaksanaan lebih pantas dan berkesan.

Beliau berkata, kerajaan tidak boleh sekadar berpuas hati mengumumkan peruntukan berbilion ringgit jika masalah infrastruktur di kedua-dua negeri masih berlarutan.
“Kita tidak boleh berpuas hati dengan pengumuman berbilion ringgit jika hasilnya belum benar-benar dirasai rakyat.
“Saya amat memahami kehendak rakyat yang masih berdepan masalah jalan raya, bekalan air, elektrik dan kelewatan projek infrastruktur termasuk Lebuhraya Pan Borneo.
“Peningkatan peruntukan mesti diterjemahkan kepada pelaksanaan yang lebih pantas dan berkesan,” katanya menerusi hantaran Facebook.
Menurutnya, peruntukan persekutuan bagi Sabah meningkat daripada RM13 bilion pada 2022 kepada RM17.2 bilion tahun lalu, manakala peruntukan bagi tahun ini berjumlah RM17.6 bilion.
Bagi Sarawak, jumlah itu meningkat daripada RM10.2 bilion pada 2022 kepada RM15.4 bilion pada 2025, dengan RM15.1 bilion diperuntukkan tahun ini, tambahnya.
Sementara itu, Mustapha mempertahankan rekod kerajaan Madani dalam melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan berkata, 12 daripada 16 perkara yang telah diselesaikan dicapai di bawah pentadbiran semasa, termasuk pemberian khas interim Sabah yang meningkat kepada RM1.5 bilion tahun ini daripada RM600 juta tahun lepas.
Bagaimanapun, Mustapha menegaskan pemberian interim itu bukan penyelesaian muktamad bagi tuntutan Sabah terhadap 40% hasil bersih persekutuan yang diperoleh dari negeri itu.
Rundingan mengenai mekanisme, jumlah dan garis masa pembayaran masih diteruskan antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan negeri, katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.